ARTIKEL

Martabak bazar Ramadan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lalu, rakan-rakan saya beragama Islam menyambut Ramadan. Ramadan bukan sekadar bulan berpuasa, ia waktu yang penuh dengan keberkatan, peluang untuk meningkatkan keimanan, muhasabah diri, serta mendekatkan diri kepada Allah. Ramadan kekal sebagai bulan penuh keberkatan bagi umat Islam di seluruh dunia.

Dalam pada itu, bazar Ramadan ialah gerai makanan dan minuman yang dinanti-nantikan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Sekitar jam 2.00 petang, setiap bazar Ramadan yang dibuka di setiap kawasan pasti mula dikunjungi ramai orang.

Saya masih ingat, semasa cuti pendek dua tahun lalu, saya pernah ke Bazar Ramadan Stadium Tertutup Miri.

Ini kali pertama saya berkunjung ke bazar Ramadan di Miri. Bazar itu yang terletak di kawasan parkir Stadium Tertutup Miri sangat besar.

Bazar ini menjual pelbagai jenis makanan termasuk barangan barbeku dan panggang, hidangan sedia dimakan dan juga pencuci mulut. Bahkan ada peniaga menjual kraf tangan.

Saya ke sini bersama-sama adik kerana saya teringin melihat bazar yang sering menjadi buah mulut di Miri. Bazar ini antara bazar tumpuan ramai termasuk pelancong dari negara jiran, Brunei.

Memandangkan ia sangat besar, adik terpaksa meletakkan keretanya di bahu jalan raya, agak jauh dari bazar berkenaan. Kami berdua berjalan kaki sekitar 20 minit untuk sampai ke bazar itu. Perkara pertama yang bermain di minda saya sejurus tiba di bazar tersebut ialah — Wow, meriahnya!

Saya dan adik melihat pelbagai makanan dan minuman yang dijual di bazar itu. Ada yang disediakan di tapak gerai, ada juga yang dibawa dari rumah. Yang pasti, semua hidangan yang ditawarkan sangat menyelerakan, namun sesetengah daripadanya agak mahal.

Melihat jam sudah berganjak ke jam 4.00 petang, kami berdua bergerak pulang kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Kami juga tidak sempat berkunjung ke semua gerai tersebut kerana keadaan semakin sesak dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai bangsa. Saya hanya sempat membeli beberapa kuih untuk minum petang.

Sebenarnya, ada satu juadah yang sangat saya nanti-nantikan setiap kali Ramadan menjelang. Juadah tersebut ialah martabak. Mengapa martabak? Semasa belajar di UiTM Shah Alam dulu, sahabat saya sering membeli martabak sebagai hidangan sampingan untuk kami berbuka puasa.

Oleh itu, martabak menjadi antara makanan kegemaran saya hingga kini. Saya biasanya mencari makanan ini pada Ramadan sahaja di bazar. Apabila menikmatinya, ia secara langsung mengimbau kembali kenangan berbuka puasa bersama-sama sahabat di UiTM Shah Alam.

Untuk makluman, martabak ialah sejenis roti goreng berinti biasanya daging cincang, telur dan bawang.

Terdapat dua jenis utama iaitu martabak telur yang savuri dan martabak manis. Martabak telur (savuri) terdiri daripada kulit nipis yang diisi dengan campuran telur, daging cincang (lembu/ayam), bawang besar, dan daun bawang, kemudian digoreng sehingga garing.

Manakala martabak manis dikenali juga sebagai apam balik, terang bulan atau ban jian kueh. Ia adalah lempeng tebal yang diisi dengan bahan manis seperti coklat, keju, kacang tanah, dan mentega.

Martabak juga biasanya dimakan bersama kuah kari pekat, hirisan timun atau acar bawang merah dengan cuka. Dari segi populariti pula, martabak ialah makanan jalanan yang popular dan sering didapati dari gerai mamak atau penjaja malam.

Kini, saya sangat jarang menikmati martabak ini. Dulu, jika ada peluang, saya akan berkunjung ke bazar Ramadan dan akan mencari makanan tersebut. Namun, tidak semua bazar menjualnya.

Contohnya di Bazar Ramadan Uptown Metrocity, setakat ini belum ada peniaga menjual martabak. Di sini, peniaga banyak menjual nasi ayam penyet, nasi ayam, air balang, panggang dan beberapa makanan lain.

Cuma sekali saya pernah terserempak seorang peniaga menjual martabak di sini beberapa tahun lalu. Bagaimanapun, martabak yang dijualnya tidak menepati cita rasa saya berbanding martabak yang saya pernah beli di Bazar Ramadan Stutong dulu.

Bazar Ramadan Stutong antara bazar Ramadan yang paling ramai dikunjungi di Kuching. Tahun ini, sejumlah 160 gerai disediakan di sini yang menjual beraneka juadah.

Kesimpulannya, bazar Ramadan menyajikan ragam makanan yang memikat dengan cita rasa unik dan warisan khas setiap kawasan. Tujuannya memudahkan orang yang bekerja mendapatkan makanan untuk berbuka.

BERITA LAIN

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU