ARTIKEL

Martabat lagu Melanau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KURANGNYA penghasilan lagu Melanau moden dalam seni muzik mendorong anak jati Melanau ini untuk memartabatkan lagu tersebut seiring peredaran zaman.

Muhammad Affiq Iqwan Abdah, 29, berkata, sejak di bangku sekolah lagi dia sering mempersoalkan; mengapa lagu Melanau tidak maju seperti lagu kaum lain di Sarawak.

“Kita boleh lihat sendiri lagu Iban.

Lagu kaum itu lebih maju dan berkembang dari segi komposisi, struktur dan susunan muzik.

“Saya menanam niat untuk terus memartabatkan lagu Melanau seiring peredaran zaman agar ia setanding dengan lagu-lagu lain,” katanya kepada Suara Sarawak.

Ujarnya, tanpa ilmu, tentu sukar untuk terus berkecimpung dalam bidang seni dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi memudahkannya untuk terus aktif dalam bidang ini.

Affiq ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Persembahan (Kepujian) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, major dalam gitar klasik dan menuntut di institusi berkenaan dari 2014 hingga 2018.

TEORI MUZIK

Ujarnya, komposer yang menghasilkan lagu Melanau perlu mendengar banyak lagu dalam pelbagai genre dan bahasa.

“Ia memainkan peranan penting untuk mencetus idea penghasilan lagu Melanau.

Setiap lagu ada nilai ilmunya yang tersendiri dari segi susunan serta struktur muzik.

“Berbekalkan ilmu yang saya pelajari di UiTM, saya dapat mengkaji teori muzik di sebalik lagu dan menjadi rujukan karya.

“Penyampaian mesej lagu juga bergantung kepada tema karya yang ditetapkan.

Ada yang bertemakan motivasi untuk menyuntik semangat pendengar, tema cinta, dakwah dan sebagainya,” jelasnya.

Affiq mengakui menghasilkan lagu Melanau tidak semudah yang disangka berbanding lagu Melayu kerana rima akhir mudah diselaraskan.

“Pada mulanya, saya mengambil masa enam bulan untuk mengkaji — menulis lirik dan menyesuaikan sebutan bahasa Melanau Mukah dalam lagu.

“Bahkan, saya mendengar lagu dari negara lain seperti Thailand, Filipina dan Vietnam kerana sebutan lagu dari negara tersebut hampir sama dengan sebutan dialek Melanau Mukah.

“Saya juga mengkaji lagu bahasa Inggeris untuk menyesuaikan ritma sebutan dan dalam tempoh enam bulan tersebut, saya berjaya memudahkan penghasilan lagu Melanau,” katanya lagi.

Menurutnya, dia yang dapat mencipta lagu dalam masa yang singkat, aktif dalam industri ini sejak 2020.

Baru-baru ini, dia dan rakan seperjuangannya Hariss dinobatkan sebagai juara dalam Anugerah Juara Lagu Melanau (AJLM).

“Kami agak terkejut dan sangat gembira apabila dinobatkan sebagai juara.

“Alhamdulillah, kami bersyukur dengan rezeki AJLM dan semestinya momentum untuk berkarya akan diteruskan.

“Saya akan berusaha untuk penghasilan lagu Melanau ke peringkat lebih tinggi.

Paling penting ialah usaha dan kejayaan pasti menyusul,” ujarnya.

Setakat ini, Affiq mencipta 18 lagu Melanau pelbagai genre.

Dedahnya, masa adalah antara cabaran yang perlu dihadapi sepanjang berkarya dalam bidang muzik.

CABARAN

Katanya, untuk menghasilkan satu lagu berdurasi tiga minit, ia memakan masa sekurangkurang dua hingga tiga bulan untuk siap.

Pada masa yang sama, Affiq berharap generasi muda tidak takut untuk mencuba sesuatu yang baharu terutamanya dalam meneruskan karya lagu Melanau.

“Jika jiwa kita tetap dengan niat yang baik, teruskan.

Saya pasti anda akan melakukan pekerjaan ini dengan penuh bersemangat.

“Tuntutlah ilmu kerana ia membuatkan kita dapat melihat dan menyelesaikan masalah dari pelbagai perspektif.

“Ilmu seiring dengan usaha dan sikap yang baik pasti datang dengan kejayaan,” tambahnya.

Justeru, dia menasihati generasi muda agar tidak takut dikritik kerana kritikan itu memberi pengajaran, sekali gus membetulkan kekurangan diri.

BERITA LAIN

Cabaran REMAJA

PEJABAT Pendidikan Daerah Mukah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers menganjurkan Program Motivasi Pelajar di Dewan Tom Bazeley, baru-baru ini. Program ini menghimpunkan seramai 145

SIMULASI HAJI CILIK

Kurikulum kebangsaan Malaysia menggariskan pelajar Islam perlu didedahkan dengan teori umrah dan haji. Pembelajaran teori ini juga harus disokong pembelajaran praktikal agar lebih berkesan. Justeru,

BERITA TERBARU