ARTIKEL

Martabatkan seni warisan tatu tradisional dan moden

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Di sebalik setiap garisan dakwat yang terukir di kulit, tersembunyi warisan yang tidak ternilai, iaitu cerita tentang keberanian, identiti dan cinta terhadap akar budaya menerusi Inkzation Tattoo Studio.

Dalam landskap seni kontemporari Borneo, dua nama semakin mendapat perhatian kerana dedikasi dan ketelitian mereka dalam seni ukiran tubuh, Nicholas Jenta dan Maximillian Ajie.

Walaupun datang daripada latar belakang berbeza, kedua-dua anak Sarawak ini berkongsi satu matlamat, iaitu memartabatkan seni tatu tradisional dan moden sebagai warisan yang hidup, penuh makna dan terus berkembang.

Nicholas Jenta, 35, berasal dari Kampung Merang, Serian, mula menyedari bakatnya dalam bidang seni sejak zaman sekolah lagi.

Selepas menamatkan persekolahan, minatnya terhadap seni lukis semakin mendalam sehingga akhirnya menjadi kerjaya utama.

“Sekitar usia 20 tahun, saya mula memberi tumpuan sepenuhnya kepada seni ukiran dan tatu. Bersama ahli keluarga, saya membangunkan studio pertama di rumah dan kemudian mengembangkan operasi ke Kuala Lumpur sebelum akhirnya menetap di Kota Samarahan.

“Kami mula serius sejak 2004, tapi hanya sekitar 2007 kami mula guna mesin dan peralatan profesional,” kata Nicholas ketika ditemu bual Suara Sarawak di gerainya di Rumah Bidayuh.

Melalui promosi di Facebook dan Instagram, Nicholas berjaya menarik pelanggan dari dalam dan luar negara. Studionya sering menjadi tumpuan ketika acara seni seperti festival muzik seumpama ini.

Di samping itu, ujarnya, perkara yang membezakan karyanya ialah penekanan pada nilai simbolik dalam setiap reka bentuk.

“Ukiran tradisional seperti terong, rekung dan Pala Tumpak bukan sahaja cantik, tetapi sarat dengan maksud mendalam yang melambangkan kematangan, keberanian dan kepakaran wanita dalam kemahiran tangan.

“Seni ini bukan sekadar hiasan. Ia mewakili siapa kita, asal usul dan nilai nenek moyang,” jelasnya.

Berbeza dengan Nicholas, Maximillian Ajie, juga berusia 35 tahun dan berasal dari Saratok, memulakan perjalanan seninya sebagai juruteknik hotel.

Maximillian Ajie.

Segalanya berubah selepas menghadiri konvensyen tatu di Miri pada 2012, apabila dia bertemu semula dengan rakan lamanya, Boy Skrunk – seorang pengukir tubuh terkenal.

“Selepas itu saya ambil keputusan besar untuk berhenti kerja dan fokus sepenuhnya dalam dunia tatu,” katanya.

Max menjalani latihan selama setahun di Studio Skrunk Tatu sebelum terus melibatkan diri dalam pelbagai acara antarabangsa.

Gaya kegemarannya termasuk tatu Jepun, Iban dan Dayak seperti renguang, engkabang, dan pala gajah.

Menawarkan pelbagai pilihan corak tatu menarik kepada pelanggan.

Baginya, setiap tatu yang dilukis bukan sekadar seni visual, tetapi terapi emosi dan bentuk penghormatan terhadap kisah hidup pelanggan.

“Ramai datang sebab nak sembuh, kenang sesuatu atau simbolkan kekuatan diri. Tatu adalah cermin jiwa,” tambah Max.

Lebih menarik, Max berkata para pelanggan mereka datang daripada pelbagai usia, dari belia berusia 18 tahun hingga warga emas berumur 70 tahun yang masih bersemangat menambah tatu baharu.

Kebersihan dan keselamatan pelanggan menjadi keutamaan.

Tambahnya, musim paling sibuk adalah ketika perayaan apabila ramai pelanggan pulang ke kampung untuk mendapatkan ukiran sebagai kenangan.

Bagi Nicholas dan Max, seni ukiran tubuh adalah lebih daripada kerjaya — ia adalah amanah budaya.

Mereka berharap lebih ramai anak muda akan memahami makna di sebalik setiap corak dan meneruskan warisan ini dengan penuh bangga.

“Ini bukan sekadar tatu. Ini kisah, sejarah dan semangat nenek moyang kita yang hidup di kulit kita,” ujar Max penuh makna.

Melalui ketekunan mereka, seni tatu Sarawak kini bukan lagi rahsia terpendam, tetapi seni yang bersinar di pentas dunia.

Para pelanggan berminat mengunjungi pameran tatu Inkzation Tattoo Studio yang menawarkan pelbagai corak menarik.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha