ARTIKEL

Masa depan bebas rokok

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Baru-baru ini Parlimen United Kingdom (UK) melakukan perkara yang lama diidamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu meluluskan rang undang-undang larangan penjualan rokok.

Undang-undang berkenaan akan berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan rasmi Raja Charles, menjadikan UK sebagai negara pertama yang mengenakan larangan merokok ke atas seluruh generasi.

RUU tembakau dan vape itu bertujuan menghalang sesiapa yang lahir selepas 1 Januari 2009, iaitu kini berusia 17 tahun daripada mula merokok.

KKM sebelum ini juga mempunyai hasrat yang sama iaitu melarang penjualan dan penggunaan produk tembakau kepada mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007, namun ia digugurkan.

Usaha terkini KKM adalah melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), melibatkan beberapa aspek yang dikuatkuasakan secara serta-merta dan berperingkat. Ia termasuk penjualan produk rokok yang menarik perhatian kanak-kanak dan remaja, bagi mengurangkan akses kepada produk tersebut.

Selain itu, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan produk merokok serta larangan penjualan di institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.

PUNCA KANSER

Apa hujah paling kuat untuk seseorang berhenti merokok atau tidak merokok? Adakah atas faktor kesihatan atau kewangan?

Pendekatan paling mudah dilakukan ialah meletakkan hukum agama, namun cara ini terlalu melompat ke penghujung.

Kesan bahaya merokok mungkin tidak perlu dijelaskan memandangkan amaran dan ilustrasi bahaya merokok tercetak pada bungkusan produk tersebut.

Malah, terdapat 15 jenis kanser yang sering dikaitkan dengan kesan rokok seperti usus, hati, perut, pundi kencing dan sebagainya.

Perkara yang sering terlepas pandang ialah Sisa Asap Basi (SAB) – sisa rokok dalam bentuk habuk atau bahan kimia yang tidak kelihatan tetapi melekat di persekitaran.

Menurut KKM, SAB mampu kekal di udara selama 5 jam di dalam bilik, malah mampu bertahan sehingga dua tahun walaupun dicuci.

Justeru, bahaya merokok tidak hanya kepada si perokok, tetapi orang sekeliling.

Cuba untuk berhenti merokok, kalau bukan untuk diri anda, lakukan untuk anak-anak anda.

Terdapat ancaman baharu melibatkan rokok iaitu kehadiran rokok elektronik.

Walaupun ramai yang menganggap ia sebagai pengganti rokok, namun rokok elektronik juga boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita.

KKM mendedahkan rokok elektronik boleh menjejaskan organ tubuh seperti mata, jantung, perut, sel otak, tekak dan paru-paru.

Rokok elektronik mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kesihatan seperti propalina glikol, gliserin sayuran, logam berat serta bahan perisa dan pewarna.

Justeru, orang ramai perlu menghindari tabiat menghisap rokok elektronik atau vape bagi mengelakkan penyakit yang dikenali sebagai E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (evali).

Antara gejala evali ialah nafas pendek, batuk, demam, cirit-birit, sakit dada, berat badan menurun, degupan jantung laju dan sakit abdomen.

Bagi komplikasi serius pula boleh mengakibatkan sindrom sukar bernafas, kegagalan pernafasan, memerlukan bantuan oksigen secara berterusan dan akhirnya kematian.

Lebih membimbangkan, terdapat sindiket pengedaran dadah yang menggunakan produk rokok elektronik atau vape.

Antaranya vape yang mengandungi furanyl fentanyl – 50 hingga 100 kali ganda lebih kuat daripada heroin atau morfin.

Justeru, rokok moden ini bukan sahaja menjadi punca kepada penyakit evali, malah berisiko menjadi alat untuk produk dadah.

Rokok merupakan satu-satunya produk yang saya setuju sekiranya dikenakan cukai yang tinggi.

Bukan disebabkan meraih hasil daripada cukai memandangkan kos daripada implikasi rokok lebih besar daripada kutipan cukai.

Namun, menjadikan produk rokok sebagai produk mewah dari sudut ekonomi boleh mengurangkan permintaan produk tersebut – harga naik, permintaan kurang.

Pun begitu, ia akan membawa kepada satu lagi masalah iaitu rokok seludup.

Justeru, hentikan tabiat merokok ini bermula dari diri kita sendiri dan anak-anak kita agar generasi baharu tidak menjadikan produk tersebut sebagai kebiasaan.

Jika generasi baharu terus terdedah kepada rokok dan vape tanpa kawalan tegas, kita seolah-olah mewariskan risiko kesihatan yang lebih besar kepada masa depan negara.

BERITA LAIN

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

Peperiksaan medan bina diri

Peperiksaan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seorang pelajar. Peperiksaan bukan sekadar mengukur sejauh mana seseorang menguasai ilmu yang dipelajari, malah menjadi medan untuk

BERITA TERBARU