PADAWAN: Masalah rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang lelaki dibelasah oleh sekumpulan lelaki di sebuah kedai makan di kawasan pekan Kota Sentosa, di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 7.45 malam, sejurus selepas pergaduhan itu berlaku kira-kira jam 7 malam, 18 September lalu.
Katanya, salah seorang suspek juga merupakan individu yang dikenali oleh mangsa yang berusia 28 tahun, yang mengalami kecederaan akibat dipukul dengan tangan serta objek keras.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata mangsa juga telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan mengalami beberapa kecederaan luaran di bahagian kepala, belakang badan, tangan, dan kaki.
Susulan itu, Barry berkata pihaknya sedang menjalankan usaha mengesan dan mengenal pasti suspek serta individu lain yang dipercayai terlibat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi, andaian, atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini, khususnya melalui media sosial.”
“Sebarang penyebaran maklumat palsu atau tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dan menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu pihak polis.
“Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh,” katanya.



