KUCHING: Jaringan digital Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) perlu diperkukuh bagi memastikan karya dan hasil kajian kesusasteraan serantau dapat diakses dengan lebih meluas oleh khalayak global.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari berkata, pendekatan ini penting bagi mendepani cabaran selaras dengan perkembangan serta perubahan zaman.
Katanya, kerjasama penterjemahan antara bahasa serantau dengan bahasa dunia juga perlu diperkasakan supaya karya kesusasteraan Nusantara dapat merentas sempadan bahasa dan budaya serta menjangkau khalayak antarabangsa.

“Generasi muda perlu terus diberikan ruang dan peluang untuk menyertai program MASTERA.
“Mereka merupakan penyambung mata rantai kepengarangan yang akan memastikan kesinambungan dan kelangsungan kesusasteraan serantau pada masa hadapan,” katanya pada Majlis Perasmian Sidang Ke-30 Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dan Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA Ke-10 di Hotel Pullman Kuching, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau menambah, Malaysia melalui Sekretariat MASTERA Malaysia di DBP kekal komited untuk mendukung MASTERA sebagai wadah utama pengembangan kesusasteraan Melayu pada peringkat serantau.
Menurutnya, sastera bukan sahaja menjadi wahana keindahan bahasa dan ketajaman pemikiran, malah mampu menjadi jambatan diplomasi.
“DBP bertanggungjawab menyelaras pelbagai kegiatan MASTERA di Malaysia, termasuk mesyuarat, bengkel, seminar dan penerbitan bersama.
“DBP turut memilih dan memperkenalkan penulis Malaysia untuk menyertai program penulisan anjuran MASTERA, sekali gus memperluas pengenalan karya dan pemikiran sasterawan pada peringkat serantau,” ujarnya.
Majlis itu turut menyaksikan Penyampaian Hadiah Sastera MASTERA Ke-10, iaitu pengiktirafan bertaraf serantau yang diberikan kepada karya sastera kreatif dan bukan kreatif bermutu tinggi hasil karya penulis dari negara anggota MASTERA.
Pengiktirafan bagi kategori Karya Sastera Kreatif diterima A. Hashim Hamid dari Brunei Darussalam menerusi Pulang Kumbali Pulang (Kumpulan Sajak), Evi Sri Rezeki dari Indonesia menerusi Babad Kopi Parahyangan (Novel), Malim Ghozali PK dari Malaysia menerusi Gunung Cha, manakala Singapura diwakili Hartinah Ahmad menerusi Senja Merah Puisi Esei Kisah Wak Cantok.
Bagi kategori Karya Sastera Bukan Kreatif pula, Indonesia diwakili Akhmad Taufiq menerusi Politika Sastra, Ruang Diskursif Ideologi dan Imajinasi Politik Kebangsaan, Malaysia menerusi A. Rahim Abdullah dengan Biografi Sasterawan Negara: Keris Mas Melepasi Gerhana, manakala Singapura menerusi Pitchay Gani Aziz dengan Keberdayaan Bahasa Melayu.
Sementara itu, MASTERA bersidang secara bergilir-gilir di negara anggota bagi menyelaraskan kegiatan yang dirancang. Sidang Ke-30 MASTERA berlangsung pada 23 hingga 24 September dengan Malaysia sebagai tuan rumah, manakala kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah persidangan itu adalah pada 2016 di Kuala Lumpur.


