KUCHING: Hasil kraf tangan dan seni budaya tempatan yang dipamerkan dalam Minggu Kraf London (LCW) 2023 telah menonjolkan Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, negeri ini bukan sahaja mempamerkan hasil kesenian masyarakat Melayu tetapi juga etnik lain seperti Iban, Bidayuh dan banyak lagi.
“Apa yang lebih mengagumkan kita adalah para pembesar yang hadir pada Pertabalan Raja Charles III juga berkesempatan untuk melihat pameran di LCW yang turut melibatkan Sarawak, Pahang dan Terengganu sebagai wakil Malaysia.
“Yang menarik perhatian kita juga adalah pameran Sarawak telah menonjol. Sama ada kain songket, keringkam, anyaman dan seni budaya kita yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis SAMARindok Aidilfitri Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) 1444H/2023 di Hotel Pullman, di sini, malam tadi.
Abang Johari memberitahu Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sendiri juga menerangkan mengenai seni budaya negeri ini kepada para pengunjung dan beliau sangat menghargai perkara tersebut.
“Antara raja yang sangat kagum melihat pameran negeri ini iaitu Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dan Permaisurinya Jetsun Pema,” ujarnya.
Hadir sama Abang Johari; Speaker Dun Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; timbalan menteri; serta wakil yang lain.







