BINTULU: Masyarakat perlu mengubah amalan pengurusan sisa isi rumah dengan memastikan bahan berbahaya diasingkan dan dilupuskan mengikut kaedah yang betul bagi mengelakkan risiko terhadap kesihatan awam serta alam sekitar.
Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Abdul Rahim Abdullah, berkata perkara itu penting ketika Bintulu terus berkembang sebagai pusat perindustrian utama yang memerlukan amalan pengurusan sisa lebih bertanggungjawab.

Beliau berkata pengenalan kempen kutipan Other Household Waste (OHW) pertama di Bintulu bukan sahaja menyediakan kemudahan pelupusan lebih selamat kepada penduduk, malah meningkatkan kesedaran bahawa setiap jenis sisa memerlukan kaedah pengendalian berbeza.
“Ketika Bintulu terus berkembang sebagai pusat perindustrian utama, kita juga perlu memperkukuh amalan pengurusan sisa yang bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat,” katanya.
“Penduduk perlu memahami bahawa jenis sisa yang berbeza memerlukan kaedah pengendalian yang berbeza,” katanya ketika berucap pada Kempen Kutipan E-Sisa (E-Waste) dan Minyak Masak Terpakai anjuran Sarawak Wastes Management (SWM) Sdn Bhd dengan kerjasama BDA, SD Guthrie International dan Green Town di perkarangan Dewan Suarah Bintulu pada Sabtu.
Kempen berkenaan diadakan sempena Hari Cuci Malaysia 2026, iaitu inisiatif kebangsaan yang menghimpunkan komuniti, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai organisasi menerusi aktiviti pembersihan, selain menggalakkan amalan pelupusan sisa dan kitar semula yang betul.
Kempen tahun ini menyasarkan penyertaan 200,000 orang di seluruh negara dan kutipan 28,000 kilogram bahan kitar semula, selain menyasarkan dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records.
Abdul Rahim berkata kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, penyedia perkhidmatan alam sekitar dan komuniti penting bagi memastikan usaha mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan mampan dapat dilaksanakan secara berterusan.
Menurutnya, pendekatan berkenaan turut menyokong aspirasi Bintulu untuk berkembang sebagai hab perindustrian rendah karbon.
Sementara itu, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SWM, Stephen Chin berkata pengurusan sisa yang selamat memerlukan pendekatan menyeluruh dan tidak boleh hanya tertumpu kepada proses kutipan.
Katanya, pengurusan sisa yang berkesan perlu merangkumi pengasingan, pengangkutan, pemulihan sumber, rawatan dan pelupusan akhir bagi memastikan risiko kepada manusia dan alam sekitar dapat dikawal dengan sewajarnya.
“Pengurusan sisa yang selamat dan bertanggungjawab perlu melangkaui proses kutipan,” katanya.
“Ia memerlukan pengasingan, pengangkutan, pemulihan sumber, rawatan dan pelupusan akhir yang betul,” katanya.
“Ini bagi memastikan risiko kepada manusia dan alam sekitar dapat ditangani serta diuruskan dengan selamat mengikut pendekatan yang ditetapkan,” katanya.
Chin berkata pengenalan kutipan OHW bersama pemulihan e-sisa memberi penduduk Bintulu pilihan lebih selamat untuk mengurus bahan isi rumah yang tidak sepatutnya dibuang ke dalam aliran sisa perbandaran biasa.
OHW merangkumi bahan seperti bateri terpakai, lampu kalimantang, tin aerosol, bekas cat dan pelarut, bekas bahan pencuci rumah, racun perosak serta minyak motor dan produk automotif terpilih.
Beliau berkata pembuangan bahan berkenaan secara tidak betul boleh menyebabkan kebakaran, pendedahan kepada bahan kimia serta pencemaran tanah dan sumber air, sekali gus memberi risiko kepada masyarakat dan alam sekitar.
Dalam pada itu, katanya, pemulihan e-sisa turut membuka peluang mendapatkan semula bahan bernilai seperti logam dan sumber semula jadi terhad untuk dikembalikan ke dalam rantaian nilai.
“Pemulihan bahan berguna daripada produk terbuang dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber mentah baharu serta mengelakkan bahan yang masih boleh dikitar semula daripada hilang melalui pelupusan,” katanya.
“Ini menyokong inisiatif ekonomi kitaran dengan memastikan sumber terus digunakan secara produktif selama mungkin,” katanya.
Chin berkata kerjasama antara pihak berkepentingan dan penyertaan masyarakat secara berterusan diharap dapat membentuk perubahan tingkah laku dalam pengurusan sisa, selain menyokong usaha mewujudkan Bintulu yang lebih cekap menggunakan sumber dan mampan.
Orang ramai turut digalakkan menyertai kempen berkenaan dengan membawa e-sisa dan minyak masak terpakai untuk ditukar kepada wang tunai, manakala barangan OHW seberat kurang daripada tiga kilogram boleh dihantar untuk pelupusan selamat secara percuma.






