KUCHING: Seramai 210 masyarakat Cina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan di sini, menerima sumbangan angpau dan limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina 2024, hari ini.
ADUN Stakan Datuk Hamzah Brahim berkata, sumbangan berkenaan dilakukan pihaknya dalam usaha memeriahkan lagi sambutan perayaan tersebut.

“Semua perayaan termasuk Tahun Baharu Cina adalah suasana yang patut diraikan dengan suasana yang penuh kegembiraan.
“Hari ini sebenarnya adalah satu tanda bahawa kita bersama-bersama dengan masyarakat dalam meraikan Tahun Baru Cina, ia adalah masa yang sesuai untuk kita berkumpul seisi keluarga.
“Ada dari ahli keluarga kita yang datang dari jauh, mereka datang kesini untuk bersama-bersama menyambut Tahun Baharu Cina, dan kita perlu hargai masa keemasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Penyerahan Bungkusan Limau kepada penerima daripada kalangan Kaum Cina Kawasan Stakan sempena menyambut Perayaan Tahun Baru Cina 2024, di Dewan Masyarakat Serbaguna Jalan Muara Tuang, di sini, hari ini.
Dengan pemberian angpau bersama-sama dengan sekotak limau ini, katanya ia merupakan simbol keharmonian kesejahteraan oleh kaum Cina.
Beliau juga berharap akan mengadakan sambutan Chap Goh Mei yang lebih meriah dan boleh dihadiri oleh semua masyarakat di kawasan DUN Stakan sini.
“Kita harap pada sambutan Chap Goh Mei akan datang, kita boleh laksanakan dengan lebih meriah…dan kita boleh gunakan dewan sekolah yang boleh memuatkan lebih ramai orang,” ujarnya.
Antara masyarakat Cina yang menerima sumbangan berkenaan adalah Persatuan Masyarakat Cina Jalan Muara Tuang; penduduk Sg.Jernang; penduduk Stakan Cina Hilir; penduduk Kuap; penduduk Stakan Cina Hulu; penduduk Penrissen Batu 14 serta penduduk Unigarden dan Unicentral.
Dalam majlis berkenaan, Hamzah turut bersetuju untuk memyumbangkan 150 kerusi bagi kegunaan dewan masyarakat berkenaan.






