Masyarakat di Bintulu dinasihati berfikir sebelum terima MPKK

BINTULU: Rakyat di kawasan Parlimen Bintulu terutama rumah panjang dan kampung dinasihati supaya berfikir secara logik sebelum menerima atau menubuh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK).

Ini bagi mengelak berlakunya pertindihan pengurusan disamping akan menyebabkan perpaduan dalam masyarakat akar umbi tergugat, jelas Ketua Politik Parti Demokratik Progresif(PDP) Kawasan P.217 Bintulu,Ukar Kelayang.

Tambahan, katanya, peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) masih relevan di peringkat pentadbiran akar umbi.

JKKK, bekerja mewakili suara politik tetapi mewakili suara politik di kawasan masing-masing yang tidak mahu adanya perpecahan dalam kalangan kita.

Ibarat dua kapal dan dua kapten mengendalikan satu kapal. Situasi ini pasti akan menyebabkan ketidaksefahaman hingga boleh mengakibatkan kapal itu karam, ujarnya pada majlis penyampaian cek Peruntukan Khas Ketua Menteri Sarawak kepada 26 buah rumah panjang di kawasan P.217 Bintulu di bilik mesyuarat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen P.217 Bintulu, di sini.

GUNA SEBAIKNYA….Ukar menyampaikan cek Peruntukan Khas Ketua Menteri kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rumah Singer Anak Nguan.

Penyerahan cek peruntukan khas Ketua Menteri hari ini membabitkan jumlah keseluruhan RM309,000 melibatkan 26 buah rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Samalaju dan Kemena.

Dalam pada itu, Ukar berterusan mengulangi kenyataan Kerajaan Negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha untuk membantu rakyat di kawasan luar bandar terutama penduduk rumah panjang dan kampung agar mereka tidak terpinggir dalam usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata, ia melalui bantuan geran atau peruntukan yang disampaikan setiap tahun kepada penduduk rumah panjang atau kampung di kawasan masing-masing.

“Geran yang disampaikan sebagai tanda penghargaan daripada kerajaan kepada anda untuk membantu anda serba sedikit dalam aktiviti dilakukan khususnya membaik pulih atau menaiktaraf rumah panjang atau kampung,

“Kita tahu ia mungkin sentiasa tidak pernah mencukupi tetapi pihak kerajaan berusaha melakukan yang terbaik dengan memberi sebanyak mungkin kepada penerima geran,” katanya.

Pemberian peruntukan khas ini juga bagi menggantikan peruntukan yang telah dijanjikan kerajaan terdahulu sebelum ditarik oleh Kerajaan Pakatan Harapan setelah mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke- 14 yang lalu.

Ukar, dalam pada itu, menasihati penerima agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan dan diri.

Ketua Bahagian PDP N.67 Jepak, Tuai Rumah Banyang anak Dato, Ketua Bahagian PDP Samalaju, Hillary Mawan Anak Antar, Ahli Majlis Tertinggi PDP, Saging Anak Layang hadir sama.

Suara Sarawak