Masyarakat perlu dididik indahkan Kuching

KUCHING: Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai menyeru orang ramai berganding bahu dan memberi sokongan padu kepada pihak berkuasa tempatan mengindahkan bandar raya Kuching.

Untuk itu, beliau berharap melalui Persidangan Orkid Asia Pasifik Ke-13 (APOC13), masyarakat sedikit banyak dapat mengetahui keindahan orkid dan peranannya mengindahkan kawasan.

“Kita akan berusaha membawa komuniti setempat melihat cantiknya orkid. Kalau boleh kita mahu mereka bersama-sama kita menanam orkid.

“Kita akan berikan orkid seterusnya meraka akan jaga. Perkara ini kita boleh usahakan.

“Untuk masa ini, DBKU mempunyai satu pasar taman dengan Sarawak Orkid Society yang baharu sahaja ditubuhkan. Kita ingin mengetengahkan perkara ini kepada komuniti setempat dan sekolah,” katanya kepada media selepas Majlis Penutupan APOC13 di BCCK semalam.

Dalam pada itu, wujud juga keraguan dan kekhuatiran dalam hasrat beliau untuk mengindahkan Kuching terutama di kawasan bulatan kerana ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme dan kecurian.

“Memang ada hasrat kita untuk mengindahkan setiap bulatan di Kuching, namun kita khuatir ada pihak mencuri atau merosakkan keindahan yang kita buat ini.

“Dahulu, kita menanam pokok yang cantik di kawasan tersebut.

“Dalam masa dua hari dirosakkan. Kalau boleh kita kena didik orang awam menjaga keindahan dan kesejahteraan bandar kini ini terlebih dahulu,”ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan berusaha mengindahkan beberapa bulatan kosong di kawasan DBKU.

“Tiga bulatan di kawasan DBKU akan ditanam dengan pokok bunga dan kita akan mengindahkannya.

“Pada masa sama kita akan sentiasa menyemak dan menaik taraf keadaan tanaman yang kita tanam di bulantan ini,”katanya lagi.