ARTIKEL

Maxim bersama dengan BSMM Miri memeterai MoU untuk menyokong program kemanusiaan dan komuniti di Bahagian Miri yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin (tiga dari kanan).

Maxim, BSMM Miri Jalin Kerjasama Strategik Sokong Program Kemanusiaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Syarikat E-hailing Malaysia, Maxim menjalinkan kerjasama strategik bersama dengan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri untuk menyokong program kemanusiaan dan komuniti di bahagian ini.

Kedua-dua organisasi ini memeteraikan Memorandum Persefahaman (MoU) serta penyerahan cek replika dalam satu majlis yang diadakan di sini yang turut disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin.

Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan akses dan sokongan pengangkutan bagi program-program kemanusiaan melalui penyediaan perjalanan percuma kepada penerima manfaat, sukarelawan, penderma darah serta kakitangan yang terlibat dalam pelbagai aktiviti anjuran BSMM Miri.

Sebagai antara organisasi kemanusiaan utama di Sarawak, BSMM Miri mengendalikan Pusat Dialisis Buah Pinggang, Pusat Sunflower untuk orang kurang upaya, perkhidmatan kesihatan, program kesiapsiagaan dan tindak balas bencana, kemudahan penginapan serta pelbagai inisiatif kutipan dana komuniti.

Datuk Seri Lee Kim Shin menyampaikan sijil pada majlis MoU dan penyerahan cek replika antara Maxim dengan BSMM Miri.

Melalui kerjasama ini, Maxim akan menyokong organisasi tersebut dengan meneroka pelaksanaan akaun pengangkutan korporat khas bagi memudahkan pergerakan dalam penyampaian perkhidmatan penting mereka.

Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley berkata, pihaknya percaya bahawa mobiliti mampu memperkasakan komuniti dan meningkatkan kualiti kehidupan.

“Kerjasama dengan BSMM Miri membolehkan kami memperluas perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan, menggalakkan kakitangan dan rakan pemandu kami untuk menyumbang kepada usaha-usaha kemanusiaan yang bermakna.

“Kami juga berbangga kerana inisiatif derma darah kami menerima penyertaan yang amat memberangsangkan, sekali gus mencerminkan semangat keprihatinan dalam komuniti Maxim,” katanya.

Selain inisiatif pengangkutan, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam memupuk budaya kesukarelawanan, meningkatkan akses kepada perkhidmatan komuniti yang penting serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam program kemanusiaan.

Sementara itu, Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Miri, Dr. Mohd Arif Abdullah berkata, pengangkutan yang boleh dipercayai amat penting bagi kebanyakan program pihaknya seperti membawa pesakit dialisis dan sukarelawan serta menyokong aktiviti tindak balas kecemasan atau program khidmat masyarakat.

“Kerjasama dengan Maxim ini akan memperkukuh keupayaan operasi kami dan membolehkan kami memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan kepada komuniti.

“Kami juga amat menghargai penyertaan aktif Maxim dalam kempen derma darah yang menjadi contoh sebenar tanggungjawab sosial korporat,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke