KUCHING: Dua daripada tujuh jenazah warga Indonesia yang maut dalam kemalangan di Sarikei pada 22 November lalu akan dihantar pulang esok.

Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono memberitahu, ia melibatkan jenazah Suandi Putra Kedaro, 25, yang berasal dari Kabupaten Lombok Tengah, Provinsi Nusa Tenggara Barat, dan Ridoan, 42, dari Kabupaten Lombok Barat, Provinsi Nusa Tenggara Barat.
“Setakat ini, semua tujuh jenazah mangsa kemalangan itu masih di Hospital Sarikei.
“Malam ini akan dipulangkan dua jenazah dahulu dari Sarikei dan dijangka sampai di pintu sempadan Tebedu-Entikong esok pagi.
“Kedua-dua jenazah seterusnya akan dibawa ke Pontianak dan diterbangkan dengan pesawat ke Kota Mataram, Nusa Tenggara Barat,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Raden berkata proses penghantaran jenazah-jenazah lain akan dilakukan secara berperingkat.
Mereka dikenali sebagai Masirah, 50, dari Kabupaten Lombok Timur, Provinsi Nusa Tenggara Barat, Sarapudin, 49, dari Kabupaten Lombok Tengah, Provinsi Nusa Tenggara Barat, Agus Muliadi, 40, dari Kabupaten Lombok Tengah, Provinsi Nusa Tenggara Barat, Jumahir, 43, dari Kabupaten Lombok Timur, Provinsi Nusa Tenggara Barat serta Rumintang, 16, dari Kabupaten Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat.
“Kami sedang menunggu beberapa ahli keluarga mangsa untuk melakukan pengecaman.
“Jika tidak ada halangan, jenazah-jenazah itu akan dihantar pulang ke Indonesia melalui pintu sempadan Tebedu- Entikong,” katanya.
Raden juga tidak menafikan bahawa kesemua mangsa tidak memiliki pasport dan dipercayai memasuki Sarawak melalui jalan tikus.
Justeru, katanya, bagi melancarkan proses pemulangan jenazah, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkaitan di Sarawak, termasuk Kementerian Luar.
Sementara itu, tvOne Digital melaporkan suasana duka menyelubungi desa kelahiran Rumintang di Desa Denggen Timur, Kecamatan Selong, dengan ibu bapa bersama ahli keluarganya yang lain serta penduduk kampung masih menunggu jenazahnya.
Berita kematian Rumintang dalam kemalangan tragik itu membuat keluarganya sangat sedih, terutama kedua-dua orang tuanya, Amaq Haeruman dan Nurilah.
Rumintang baru tiga hari bekerja di salah sebuah ladang kelapa sawit di Sarawak, selepas terpaksa berhenti sekolah dan bekerja secara haram di Malaysia bersama saudara yang mengajaknya kerana ingin membina rumah yang lebih selesa bagi orang tuanya dan membiayai persekolahan adiknya.
Meskipun dilarang keluarganya, namun Rumintang bertekad tetap mahu pergi bekerja kerana ingin mengubah taraf ekonomi keluarganya.
Khabar kematian Rumintang diketahui keluarganya setelah mereka menerima panggilan daripada seorang saudaranya yang bekerja di Sarawak.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.50 petang Khamis minggu lepas, kesemua mangsa, termasuk seorang lelaki tempatan, yang menaiki Perodua Alza maut selepas ia bertembung dengan Toyota Hilux.
Kejadian berlaku di Jambatan Sungai Nyelong, Lebuh Raya Pan Borneo, selepas Perodua Alza tersebut yang dipandu lelaki tempatan terbabit, cuba lari daripada pemeriksaan Unit Kereta Peronda (MPV) lalu memasuki laluan bertentangan di lencongan simpang bulat.





