MUKAH: Mayat seorang lelaki ditemukan terdampar dalam keadaan telentang oleh orang awam di tepi pantai Jebungan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian lebih kurang jam 2.05 petang.
“Sejurus menerima maklumat daripada pengadu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mukah bergerak ke lokasi kejadian dan mendapati satu mayat lelaki berpakaian warna kelabu, seluar pendek (boxer) dan menggunakan ‘inner’ di lengan serta sarung tangan.

“Pemeriksaan tubuh badan dan sekitar mayat tidak menjumpai sebarang petunjuk ke atas identiti si mati kerana keadaannya yang tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya, siasatan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau berunsur jenayah.
Dalam pada itu, tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi kejadian di lokasi mayat dijumpai.
“Mayat telah dibawa menggunakan kenderaan polis dan diletakkan di rumah mayat Hospital Mukah untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan telah dilakukan dan tidak menjumpai sebarang kesan atau pergelutan yang berunsur jenayah atau khianat ke atas tubuh badan si mati.
“Si mati dijangka telah meninggal dunia dalam tempoh lima ke tujuh hari,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Balai Tatau Sarjan Zaidi Selamat ketika dihubungi mengesahkan bahawa gambar mayat adalah sepadan dengan kes OH bertarikh 25 Februari lalu yang disiasatnya.
Menurutnya, butir mayat tersebut ialah lelaki warganegara Indonesia, 23, bekerja sebagai kru kapal dan hilang di perairan muara Kuala Tatau.
Bagaimanapun katanya, kes ini masih dalam siasatan.


