SIBU: Mayat lelaki warga negara India yang dilaporkan terjatuh dari sebuah kapal di Gimhawk Shipyard, Jalan Sungai Maaw, di sini pada 11 April lalu sudah ditemui, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, mayat Jamwal Akash, 23, yang merupakan seorang kru kapal ditemukan pada jam 9.15 pagi di bawah jeti Boh Ming Breeding Farm sejauh lima kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB) ke hilir Sungai Batang Igan seperti yang dilaporkan oleh orang awam kepada pihak polis.
Menurutnya, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Simpang Tiga, Kampung Hilir untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari ketiga hari ini bermula pada jam 8.30 pagi namun pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.50 pagi yang memaklumkan penemuan mayat terapung di jeti Boh Ming Breeding Farm.
Komander Operasi SAR kemudian mengarahkan anggota ke lokasi mayat ditemukan terapung, dan mereka dilapor menggunakan bot aluminium BP64 BBP Sungai Merah bersama sebuah bot pihak polis dan sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Rentetan penemuan mayat itu, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi.




