IPOH: Polis mengesahkan mayat yang ditemukan dalam beg pakaian di Sungai Perak berhampiran jeti Lembah Kuala Kangsar petang semalam merupakan seorang wanita.
Menurut Bernama, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an, namun identitinya masih belum dikenal pasti.
Beliau berkata polis menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan kira-kira 3.12 petang yang memaklumkan penemuan mayat di sungai berhampiran jeti berkenaan.
Mayat disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Heisham menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau provokasi, selain meminta mereka yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kuala Kangsar di talian 05-776 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.



