ARTIKEL

Kylian Mbappe ketika sesi temu bual France Football dan L’Equipe di Paris, semalam.

Mbappe beri respons terhadap meme ‘Diktator Mbappe’

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kylian Mbappe akhirnya bersuara mengenai meme tular yang menggambarkan dirinya sebagai seorang diktator autoritarian, seolah-olah mempunyai kuasa mutlak terhadap kelab dan rakan sepasukannya.

Mbappe, yang sebelum ini tidak mengendahkan trend berkenaan, memilih untuk memberikan respons selepas namanya disenaraikan antara 30 calon Anugerah Ballon d’Or minggu ini.

Bintang Real Madrid itu berkata sebahagian meme berkenaan boleh dianggap sebagai gurauan, namun ada juga yang disifatkan keterlaluan kerana mengaitkannya dengan tokoh yang pernah menyebabkan penderitaan kepada jutaan manusia dalam sejarah.

“Sebahagiannya melucukan, tetapi ada juga yang kurang lucu kerana kita tahu kemusnahan yang dilakukan oleh individu seperti itu sepanjang sejarah.

“Apabila dibandingkan dengan orang yang membunuh orang lain atau menyebabkan berjuta-juta manusia hidup dalam kesengsaraan

“Saya rasa saya tidak pernah melakukan perkara sedemikian dalam hidup saya.

“Jadi, terdapat pelbagai perkara yang diperkatakan,” katanya dalam temu bual bersama France Football dan L’Equipe di Paris, semalam.

Mbappe berkata beliau memahami meme berkenaan dihasilkan secara bersahaja dan tidak semestinya bertujuan untuk menyamakan dirinya dengan tokoh diktator sebenar.

“Pada satu sisi, saya tahu ia dibuat sebagai gurauan dan orang ramai tidak bermaksud untuk pergi sejauh itu.

“Namun, kadangkala ia menunjukkan kekurangan kesedaran politik dan kemanusiaan dalam kalangan sesetengah orang,” katanya.

Dalam temu bual itu, Mbappe turut berkongsi detik lucu bersama rakan sepasukannya, Ousmane Dembele, yang menggelarnya ‘Mobutu’ selepas melihat suntingan berkenaan di media sosial.

“Ousmane pula lain.

“Dia mengambilnya daripada media sosial.

“Dengan dia, semuanya sekadar gurauan,” katanya.

Meme “Diktator Mbappe” menjadi fenomena internet yang menggambarkan penyerang Perancis itu sebagai pemerintah mutlak dengan kuasa autoritarian terhadap kelab dan rakan sepasukannya.

Pemain kelahiran Paris pada 20 Disember 1998 itu kini beraksi bersama Real Madrid selepas mencipta kejayaan bersama Monaco dan Paris Saint-Germain (PSG).

Pencapaian utamanya termasuk memenangi Ligue 1 bersama Monaco pada 2017 serta PSG pada 2018 hingga 2020 dan 2022 hingga 2024, selain Piala Perancis, Piala Super UEFA dan Piala Antara Benua FIFA.

Mbappe turut meraih beberapa anugerah individu, termasuk Trofi Kopa pada 2018 dan Trofi Gerd Muller pada 2024.

Pada peringkat antarabangsa, beliau telah membuat 106 penampilan bersama Perancis dan menjaringkan 66 gol, selain membantu negaranya menjuarai Piala Dunia FIFA 2018 dan Liga Negara-Negara UEFA 2021.

BERITA LAIN

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih

BERITA TERBARU

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih