KUCHING: Dakwaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) gagal melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat kerana memiliki lebihan kewangan serta corak perbelanjaan yang dipersoalkan menjadi tumpuan perbincangan beberapa pihak sejak kebelakangan ini.
Bagaimanapun, MBKS tampil menjelaskan dakwaan tersebut tidak menggambarkan keadaan sebenar pengurusan kewangan pihak berkuasa tempatan itu yang melibatkan pelbagai sumber pendapatan serta peraturan penggunaan dana yang berbeza.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, sebahagian angka yang sering dijadikan asas perbandingan sebenarnya merangkumi bukan sahaja hasil operasi, tetapi juga geran kerajaan, sumbangan pembangunan serta pampasan projek yang mempunyai tujuan khusus dan tidak boleh digunakan secara bebas.
“Bagi tahun 2023, MBKS mencatatkan hasil operasi sebanyak RM85.66 juta, manakala perbelanjaan pula RM89.27 juta.
Ini menunjukkan perbelanjaan majlis lebih tinggi daripada hasil yang dijana sendiri,” katanya pada sidang media yang diadakan di Kuching baru-baru ini.
Menurut Wee, pada tahun 2024 pula, hasil operasi meningkat kepada RM110.59 juta berbanding perbelanjaan RM98.35 juta.
Namun katanya, peningkatan ini turut dipengaruhi oleh penerimaan sekali sahaja seperti pampasan projek Transit Aliran Autonomi (ART) melibatkan pengambilan tanah dan pokok untuk pembangunan infrastruktur.
“Dana seperti geran kerajaan dan sumbangan pembangunan tidak boleh digunakan sesuka hati kerana ia telah diperuntukkan untuk projek tertentu mengikut garis panduan yang ditetapkan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan lebihan kewangan bermaksud perkhidmatan kepada rakyat tidak disalurkan.
Sebaliknya kata beliau, rizab tersebut dianggap penting bagi memastikan kelangsungan projek masa depan seperti penyelenggaraan infrastruktur, saliran, jalan raya dan kemudahan awam.
“Perkhidmatan kepada rakyat tetap dilaksanakan secara berterusan termasuk penyelenggaraan longkang, jalan raya, lampu jalan, kutipan sampah, kebersihan bandar, program kesihatan awam serta pembangunan taman dan program komuniti.
“Dalam masa sama, prestasi majlis tidak wajar diukur hanya berdasarkan angka kewangan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira tahap perkhidmatan dan pencapaian di lapangan,” katanya.
Beliau itu turut merujuk kepada beberapa pengiktirafan termasuk status UNICEF Child Friendly Cities Initiative, penarafan lima bintang pihak berkuasa tempatan serta pelbagai anugerah berkaitan pengurusan bandar mampan dan inovasi.
Wee menegaskan pengurusan kewangan secara berhemah bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan perancangan jangka panjang untuk memastikan Kuching Selatan terus membangun secara stabil dan teratur.
Merujuk kepada prestasi kewangan MBKS, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dalam kenyataan pada Selasa lalu mendakwa pihak berkuasa tempatan itu masih belum memanfaatkan sepenuhnya hasil kutipan yang diperoleh walaupun menerima jumlah yang besar daripada pembayar cukai.
Katanya, walaupun penghasilan lebihan kewangan mungkin dianggap baik bagi sebuah syarikat swasta, tugas utama pihak berkuasa tempatan adalah memastikan perkhidmatan kepada orang awam dilaksanakan dengan berkesan serta menjaga dan menyelenggara kemudahan serta infrastruktur awam.



