McDonald’s sumbang RM545,000 bantu golongan kurang berkemampuan

TUMPAT: McDonald’s Malaysia menyumbangkan sebanyak RM545,000 kepada Kelantan menerusi pelbagai program komunitinya tahun ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya Azmir Jaafar berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan matlamat memberi impak positif kepada masyarakat di sekitar lokasi operasi McDonalds Malaysia.

“Antara inisiatif itu termasuk pembayaran zakat perniagaan McDonald’s, pelantikan belia dari keluarga kurang berkemampuan menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) dan penyerahan pek Kembali ke Sekolah kepada kanak-kanak sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Kelantan dan Perasmian Pembukaan McDonalds Pasir Pekan di sini, hari ini yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Abdullah Yakub.

Azmir berkata Mcdonald’s komited membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara memandangkan ia adalah nilai teras restoran makanan segera itu.

“Kami harap pembukaan restoran terbaharu di Kelantan ini mampu menjadi nilai tambah ke arah merancakkan ekonomi negeri ini khususnya melalui peluang kerja dan pembangunan bakat masyarakat setempat,” katanya.

Katanya lima lagi restoran McDonald’s akan dibuka di Kelantan di beberapa kawasan termasuk di Kubang Kerian, Tanah Merah, Tumpat dan Gua Musang bagi menambah 18 restoran sedia ada di Kelantan.

Dalam pada itu katanya lebih 1,400 kanak-kanak dari 48 sekolah seluruh Kelantan akan menerima pek Kembali ke Sekolah tahun ini.

Katanya program inisiatif kerjasama McDonald’s dan Kementerian Pendidikan Malaysia yang diperkenalkan pada 2017 itu telah membantu 30,000 kanak-kanak di seluruh negara bagi tahun ini dengan sumbangan berjumlah RM3 juta.

Beliau berkata disasarkan 53,000 kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah akan mendapat manfaat daripada program Kembali ke Sekolah menjelang 2020. – Bernama

Suara Sarawak