BINTULU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kecurian kabel di sebuah menara telekomunikasi di Sungai Plan, di sini yang dipercayai menyebabkan gangguan perkhidmatan internet di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, beliau telah mengarahkan MCMC menjalankan siasatan segera selepas menerima aduan tersebut baru-baru ini.
Menurutnya, pasukan MCMC Bintulu telah melakukan lawatan ke tapak projek sehari selepas aduan diterima bagi meneliti keadaan di lokasi tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat unsur vandalisme termasuk pagar perimeter yang dipotong, kabel kuasa yang dikorek dan kerosakan pada kotak meter milik Sarawak Energy Berhad,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, katanya, pemantauan rangkaian yang dilakukan MCMC mendapati perkhidmatan internet di kawasan tersebut masih beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan sambungan.
Menurut beliau, penyedia perkhidmatan telekomunikasi telah diarahkan melaksanakan kerja pembaikan segera bagi mengelakkan kejadian pencerobohan dan vandalisme daripada berulang.
“Kami akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, Teo turut menghargai tindakan orang awam yang menyalurkan aduan berkaitan insiden berkenaan serta memuji kecekapan pasukan MCMC dalam bertindak pantas menangani isu tersebut.



