“ I’m not okay!” — laungan yang sinonim dengan lagu ikonik “I’m Not Okay (I Promise)” bakal kembali bergema di Kuala Lumpur apabila kumpulan rock alternatif dari Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), mengadakan konsert selama dua malam berturut-turut di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 19 dan 20 November ini.
Kepulangan itu pastinya membawa makna tersendiri buat peminat tempatan yang telah menantikan kehadiran semula kumpulan berkenaan selama hampir dua dekad sejak persembahan pertama mereka di Malaysia pada 9 Disember 2007 menerusi jelajah dunia The Black Parade Tour.
Tanda tanya mengenai kepulangan kumpulan itu mula timbul apabila sebuah papan iklan digital gergasi di tengah-tengah ibu negara memaparkan ungkapan ringkas, “Malaysia, are you okay?”, yang merujuk kepada lagu popular mereka, sekali gus memberikan bayangan tentang kepulangan MCR.
Kini, teka-teki itu terjawab apabila MCR dijadualkan kembali menemui peminat menerusi konsert My Chemical Romance Live in Kuala Lumpur anjuran Hello Universe.
Lebih istimewa, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya bandar di Asia Tenggara yang menjadi lokasi persembahan MCR selama dua malam bagi siri jelajah ini, sekali gus memberikan lebih banyak peluang kepada peminat untuk menyaksikan kumpulan itu secara langsung.
Konsert yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada April lalu itu kemudiannya ditangguhkan ke November ini, manakala tiket tambahan terakhir mula dijual pada 22 Oktober menerusi GoLive Asia.
Sepanjang tempoh hampir dua dekad sejak kunjungan pertama mereka, MCR melalui pelbagai fasa dalam perjalanan muzik mereka, termasuk pengumuman pembubaran kumpulan itu pada 2013 sebelum bersatu semula pada 2019.
Penyatuan semula itu membangkitkan keterujaan peminat yang membesar bersama muzik mereka, khususnya lagu-lagu yang menggabungkan unsur rock alternatif, lirik yang sarat dengan emosi dan persembahan yang dramatik.
Antara karya yang paling dinantikan pastinya lagu-lagu daripada album The Black Parade yang diterbitkan pada 2006 dan menjadi antara album penting dalam perjalanan muzik kumpulan itu.
Lagu seperti Welcome to the Black Parade, Famous Last Words, Teenagers, Cancer dan Mama dijangka mengundang penonton untuk menyanyi beramai-ramai, terutama dalam kalangan peminat yang mengikuti MCR sejak awal kemunculan mereka.
Selain itu, lagu seperti I’m Not Okay (I Promise), Helena, Our Lady of Sorrows, The Ghost of You dan Thank You for the Venom turut dijangka dipersembahkan dalam konsert berkenaan.
Antara lagu lain yang dijangka dipersembahkan adalah The End., Dead!, This Is How I Disappear, The Sharpest Lives, House of Wolves, Sleep dan Disenchanted.
Peminat juga boleh menantikan kemungkinan persembahan lagu yang berentak lebih rancak seperti Na Na Na (Na Na Na Na Na Na Na Na Na) dan Planetary (GO!), selain The Foundations of Decay yang memperlihatkan sisi muzik MCR dalam era yang lebih baharu.
Pun begitu, senarai ini masih merupakan jangkaan dan pemilihan serta susunan lagu sebenar hanya dapat dipastikan ketika konsert berlangsung.
Bagi peminat setia, konsert itu bukan sekadar peluang untuk mendengar lagu kegemaran secara langsung, malah menjadi ruang untuk mengimbau kenangan yang berkait rapat dengan muzik MCR sepanjang kehidupan mereka.
Selepas melalui tempoh perpisahan sebelum bersatu semula, kehadiran kumpulan itu di Kuala Lumpur bakal mempertemukan peminat lama dengan generasi baharu yang mengenali muzik mereka menerusi pelbagai platform.
Menerusi persembahan selama dua malam itu, Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi medan pertemuan peminat dengan kumpulan yang muziknya terus mendapat tempat dalam kalangan penggemar rock alternatif.






