ARTIKEL

Momen yang dirindui

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP kali tiba musim pilihan raya, saya selalu teringat pengalaman membuat liputan kira-kira 25 tahun lalu.

Ketika itu, saya masih muda dan ditugaskan membuat liputan di kawasan sendiri, sebuah kampung yang sedang membangun.

Banyak perkara masih serba sederhana, tetapi suasana pilihan raya cukup meriah.

Sampai sekarang, apabila mengenangkannya, saya boleh tersenyum sendiri. Bertugas di kawasan sendiri memang ada seronoknya.

Ke mana-mana sahaja pergi, ada sahaja wajah yang dikenali.

Ada saudara-mara, kawan sekolah, jiran dan orang kampung yang sudah mengenali saya sejak kecil.

Kadang-kadang belum sempat bertanya tentang pilihan raya, mereka sudah bertanya macammacam tentang diri saya.

Sudah makan atau belum?

Bila sampai?

Berapa lama hendak tinggal?

Bila hendak balik semula?

Soalan yang sama boleh ditanya berkali-kali oleh orang yang berlainan.

Tetapi itulah orang kampung.

Walaupun kita datang kerana bekerja, mereka tetap menganggap kita pulang menjenguk kampung halaman.

Ketika itu, kampung saya sedang melalui perubahan.

Pembangunan mula dirasai tetapi kehidupan masyarakat masih sederhana.

Orang ramai saling mengenali.

Kalau ada kenduri, majlis atau perjumpaan, hampir semua orang tahu.

Tidak perlu hebahan melalui WhatsApp seperti sekarang, berita boleh tersebar dari rumah ke rumah.

Kadang-kadang lebih cepat daripada yang kita sangka.

Apabila tiba musim pilihan raya, suasananya bertambah meriah.

Orang ramai keluar mendengar ceramah, bertemu calon dan berbual tentang macam-macam perkara.

Kedai kopi menjadi tempat paling sibuk.

Ada-ada sahaja cerita politik yang dibincangkan.

Ada yang begitu yakin calon pilihannya akan menang, ada pula yang hanya tersenyum mendengar orang lain berbahas.

Saya pula berada di tengahtengah mereka sebagai wartawan.

Walaupun ramai yang dikenali, kerja tetap kerja.

Saya perlu mendapatkan berita, mendengar pandangan penduduk dan mengikuti perkembangan kempen.

Namun, bukan mudah apabila bertugas di tempat sendiri.

Ada-ada sahaja yang mengusik, bertanya siapa yang saya sokong. Saya hanya ketawa.

Kalau dilayan, panjang pula ceritanya.

Sebagai wartawan, saya datang untuk membuat liputan, bukannya berkempen.

Menariknya, orang kampung ketika itu tidak terlalu berkira tentang perbezaan politik.

Dalam sebuah keluarga pun boleh ada yang menyokong parti berlainan.

Mereka mungkin berbahas ketika minum kopi, tetapi selepas itu masih boleh makan semeja.

Kadang-kadang saya mendengar mereka saling mengusik.

Seorang yakin partinya akan menang, seorang lagi tidak mahu mengalah.

Masing-masing ada hujah sendiri.

Tetapi apabila makanan sampai, perbualan politik boleh berhenti seketika.

Soal makan tetap lebih penting.

Saya suka suasana begitu.

Pilihan raya menjadi meriah kerana orang ramai mengambil tahu tetapi hubungan sesama penduduk masih terjaga.

Satu lagi yang saya ingat ialah keramahan orang kampung.

Kalau singgah di rumah, jarang sekali dapat keluar tanpa dijamu.

Paling kurang pun secawan kopi atau teh.

Kalau kebetulan waktu makan, pasti diajak makan bersama.

Kadang-kadang kita sudah kenyang, tetapi apabila tuan rumah bersungguh-sungguh mengajak, susah pula hendak menolak.

Akhirnya makan juga sedikit.

Selepas itu, pergi ke rumah lain, diajak makan lagi.

Begitulah pengalaman membuat liputan di kampung.

Bukan sahaja membawa pulang berita, kadang-kadang perut pun sentiasa kenyang.

Namun, kerja wartawan ketika itu tidak semudah sekarang.

Telefon bimbit belum secanggih hari ini.

Tidak ada kemudahan menghantar gambar dan berita melalui WhatsApp.

Untuk menghantar laporan, kami perlu menggunakan apa-apa cara yang ada pada waktu itu.

Ada masanya, urusan menghantar berita lebih memenatkan daripada mendapatkan berita itu sendiri.

Tetapi kami sudah biasa.

Asalkan berita sampai ke pejabat dan dapat diterbitkan keesokan hari, lega rasanya.

Saya masih ingat, apabila selesai membuat liputan, adaada sahaja orang kampung yang mengajak berbual.

Ada yang mahu berkongsi masalah, ada yang bercerita tentang pembangunan dan ada juga yang sekadar mahu mengetahui kehidupan saya sebagai wartawan.

Kadang-kadang perbualan itu lebih panjang daripada temu bual dengan calon.

Tetapi saya tidak kisah.

Bagi saya, itulah kesempatan untuk mendengar sendiri cerita masyarakat.

Kita boleh membaca pelbagai laporan tentang pembangunan tetapi apabila duduk bersama penduduk, barulah kita tahu apa-apa yang mereka benar-benar perlukan.

Ada yang bercakap tentang jalan, bekalan air, kemudahan sekolah dan peluang pekerjaan untuk anak-anak.

Bagi mereka, pilihan raya bukan sekadar menentukan siapa menjadi wakil rakyat.

Mereka mahu kehidupan yang lebih baik.

Apabila mengenangkan semua itu sekarang, saya terfikir bagaimana keadaan kampung tersebut selepas 25 tahun.

Sudah tentu banyak yang berubah. Jalan yang dahulu mungkin tidak begitu baik sudah semakin selesa.

Rumah-rumah juga semakin cantik dan ramai anak-anak muda sudah berhijrah mencari pekerjaan.

Orang yang dahulu masih muda mungkin sekarang sudah menjadi datuk dan nenek.

Ada juga yang sudah meninggal dunia.

Kalau bertemu semula, mungkin ada wajah yang saya tidak kenal, sedangkan dahulu kami sering berjumpa.

Begitu cepat masa berlalu.

Saya sendiri pun sudah jauh berubah.

Dahulu, saya boleh berjalan dari pagi hingga ke malam untuk mendapatkan berita.

Tidak kisah panas atau hujan.

Kalau perlu menunggu berjam-jam, saya tunggu sahaja.

Tenaga masih banyak dan semangat bekerja pun bukan main lagi.

Sekarang, tugas saya lebih banyak di pejabat.

Saya menunggu berita daripada wartawan, menyemak laporan dan memastikan semuanya siap sebelum akhbar dicetak.

Sesekali apabila melihat wartawan muda keluar membuat liputan pilihan raya, teringat juga zaman saya dahulu.

Saya tahu mereka akan penat.

Saya juga tahu mereka mungkin terpaksa makan lewat dan pulang ketika orang lain sudah tidur.

Tetapi percayalah, suatu hari nanti, pengalaman itulah yang akan mereka kenang.

Bukan semua kenangan indah datang daripada perkara yang besar.

Ada kalanya, yang paling kita ingat hanyalah perjalanan ke sebuah kampung, secawan kopi yang dihidangkan oleh orang tua atau perbualan ringkas dengan seseorang yang sudah lama tidak ditemui.

Pilihan raya akan terus datang dan pergi.

Calon bertukar, keputusan berubah dan orang ramai akan terus membuat pilihan masing-masing.

Tetapi bagi saya, setiap kali musim pilihan raya tiba, ingatan pasti kembali kepada kampung itu.

Kepada orang kampung, suasana dan pengalaman yang pernah saya lalui ketika masih muda.

Kalau diberi peluang kembali ke sana untuk membuat liputan seperti 25 tahun lalu, mungkin saya tidak lagi selincah dahulu.

Hendak berjalan seharian pun barangkali perlu berfikir dua tiga kali.

Namun, kalau sekadar duduk di kedai kopi, bertemu orang lama dan mendengar mereka bercerita tentang pilihan raya, saya pasti masih sanggup.

Mungkin kopi sudah habis dua cawan, cerita kami belum juga selesai.

Dan saya percaya, seperti dahulu, ada-ada sahaja orang kampung yang akan bertanya, bila sampai?

Berapa lama?

Soalan yang cukup biasa tetapi apabila usia semakin meningkat, perkara seperti itulah yang paling kita rindui.

BERITA LAIN

Lawan di Sarawak

DI Putrajaya, GPS dan PKR boleh duduk semeja membincangkan urusan negara. Di Sarawak, kedua-duanya boleh berdiri di pentas ceramah yang berlainan dan meminta undi daripada

Misi ke final Piala FA

KEMENANGAN bergaya 2-0 ke atas wakil Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) tiga hari lepas bakal menjadi suntikan moral buat

BERITA TERBARU

Sarawak teroka hidrogen ganti bahan api fosil

BINTULU: Sarawak mempergiat transformasi sektor perindustriannya ke arah ekonomi rendah karbon menerusi pelaksanaan empat inisiatif perintis di bawah Kluster Peralihan Industri (Transitioning Industrial Clusters atau