DI Putrajaya, GPS dan PKR boleh duduk semeja membincangkan urusan negara.
Di Sarawak, kedua-duanya boleh berdiri di pentas ceramah yang berlainan dan meminta undi daripada orang yang sama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-13. Aneh?
Perkara ini mungkin aneh bagi sesiapa yang menganggap kawan dalam politik mesti berkawan di semua gelanggang.
Bagi GPS, soal siapa mentadbir negara dan siapa mendapat mandat mentadbir Sarawak ialah dua keputusan yang lahir daripada dua pilihan raya yang berlainan.
Itulah inti kenyataan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa GPS akan bertanding di kesemua 82 kerusi pada PRU Sarawak Ke-13.
Pendirian itu turut terpakai kepada DAP, PAS, Bersatu dan Amanah.
Yang menarik, menurut Abdul Karim, setakat beliau membuat kenyataan itu, PKR belum pun mendekati GPS untuk membincangkan kemungkinan kerjasama.
Beliau sedang menjawab satu kemungkinan, sambil memberitahu lebih awal bagaimana GPS akan menyambutnya.
Susulan kenyataan Abdul Karim itu, Naib Presiden PKR, Ronald Enghan menyifatkan sikap menutup pintu kerjasama sebagai sempit dan tidak matang.
Baginya, masa depan Sarawak menuntut keterbukaan, tiada parti wajar memonopoli politik, dan kepelbagaian kaum, agama serta budaya harus dicerminkan melalui toleransi dan perpaduan.
Namun, dari sudut GPS,
kerjasama di Putrajaya boleh berjalan seiring dengan persaingan di Sarawak.
Bertanding sendiri membolehkan GPS menawarkan agenda pembangunan dan mendapatkan mandat langsung daripada pengundi.
Kematangan demokrasi juga terserlah apabila parti menghormati perbezaan, memberi ruang kepada pembangkang dan menerima keputusan rakyat.
Mengapa GPS begitu yakin? Lihat sahaja keputusan PRU Sarawak pada 2021.
GPS menang 76 daripada 82 kerusi dengan kira-kira 61 peratus undi. PKR pula gagal memenangi sebarang kerusi.
PKR pasti tahu akan kesan dan implikasinya jika mereka menentang GPS di semua kebanyakan kerusi.
Yang mana lebih penting, sokongan di Putrajaya atau bertanding di DUN Sarawak, dengan keputusan yang hampir pasti tidak memihak kepadanya?
Kini, pembangkang, DAP, hanya memiliki dua kerusi.
Dengan kedudukan itu, apakah keperluannya untuk GPS bekerjasama?
Tentu sukar bagi GPS menjelaskan kepada penyokongnya mengapa salah satu daripada empat parti komponennya perlu mengosongkan laluan untuk PKR.
Lebih-lebih lagi apabila setiap kerusi ada sejarahnya, ada penyandang atau bakal calon yang sudah lama bekerja di kawasan, dan ada jentera yang mengharapkan usaha mereka dihargai.
Bayangkan GPS menyerahkan satu kerusi kepada PKR.
Siapa dalam GPS yang akan berundur?
PBB, SUPP, PDP atau PRS? Di atas kertas, satu kerusi nampak kecil.
Di peringkat cawangan, orang akan bertanya, mengapa kawasan mereka dipilih dan apakah yang diperoleh sebagai balasan?
Kalau kerusi itu boleh dimenangi GPS, mengapa dilepaskan? Kalau sukar dimenangi, apakah kelebihan yang dibawa PKR?
Begitulah perkiraan yang lazimnya lebih rumit daripada gambar pemimpin berjabat tangan.
Namun, hujah Abdul Karim yang lebih besar menyentuh tempat keputusan dibuat.
Beliau mempersoalkan keperluan mendapatkan persetujuan kepimpinan parti di Semenanjung bagi keputusan penting yang menyentuh Sarawak.
Hujah itu ada asas dan daya tarikannya kerana pengundi mahu tahu siapa yang boleh menjawab apabila timbul pertikaian tentang calon, peruntukan atau keutamaan pembangunan.
Apabila keputusan dibuat di Kuching, pemimpin Sarawak lebih mudah ditanya mengapa satu pilihan dibuat dan siapa yang bertanggungjawab terhadap akibatnya.
Di sinilah hujah autonomi kembali menguji GPS sendiri.
Jika keputusan dibuat lebih dekat dengan rakyat, adakah suara
orang di kawasan juga lebih dekat dengan pembuat keputusan?
Berapa banyak ruang diberikan kepada cawangan, masyarakat setempat dan pengundi untuk menyatakan pandangan tentang calon?
Orang di rumah panjang yang menunggu bekalan air atau peniaga di bandar yang berdepan kos meningkat akan menilai sejauh mana wakil mereka dapat membawa masalah itu ke meja yang betul.
Mungkin ibu pejabat hanya menjawab sebahagian daripada persoalan tersebut.
Bagi PKR, kenyataan Abdul Karim memperjelas medan yang bakal dihadapinya.
Kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan memberi PKR ruang menunjukkan hasil kerjanya untuk Sarawak.
Di peti undi DUN, parti itu perlu menjelaskan pula apa-apa yang dapat dilakukan oleh calon dan wakilnya di DUN.
Pengundi mungkin menyambut baik peranan seorang menteri Persekutuan dalam meluluskan projek, sambil memilih calon daripada parti lain untuk membawa suara kawasan mereka.
Kedua-dua pertimbangan itu munasabah.
Persaingan ini juga menguji kematangan hubungan GPS dengan PKR selepas kempen.
Apabila calon masing-masing berbahas tentang jalan raya, sekolah daif atau kemudahan kesihatan, ada tanggungjawab negeri dan Persekutuan yang saling berkait.
Mudah untuk menuding jari dari pentas.
Lebih sukar untuk kembali semeja selepas keputusan diumumkan, menyemak peruntukan dan menentukan siapa perlu menyelesaikan kerja yang tertangguh.
Di situlah pengundi dapat melihat sama ada perbezaan politik masih memberi ruang kepada kerjasama yang diperlukan oleh mereka.
Angka 76 daripada 82 juga wajar dibaca bersama bahagian undi GPS.
Seyogia diingat, sekitar enam daripada setiap 10 undi pada PRU Sarawak 2021 memihak kepada GPS.
Apabila GPS menyatakan hasrat menyapu bersih semua kerusi, cabarannya ialah memahami sebab itu, terutama di kawasan yang selama ini memberikan ruang kepada pembangkang.
Bagi pengundi, pertandingan terbuka membolehkan mereka membandingkan calon dan menimbang nilai sebuah suara pembangkang di DUN. Majoriti besar memberi kerajaan ruang melaksanakan dasarnya.
Wakil pembangkang pula boleh sahaja menyatakan akan memainkan peranan semak dan imbang di DUN.
Hakikatnya, mutu semak dan imbang bergantung pada kerja wakil yang dipilih, termasuk kesediaan wakil kerajaan sendiri untuk bertanya apabila sesuatu dasar menimbulkan masalah di kawasannya.
Di sesetengah kawasan, mungkin calon lebih menentukan kemenangan daripada lambang parti yang diwakili.
Pengundi ingat siapa yang datang ketika banjir atau ada isu berbangkit di kawasan dan siapa yang masih menjawab telefon selepas pilihan raya.
Mereka juga tahu membezakan projek yang sudah boleh digunakan daripada projek yang baru diumumkan.
Bagi Kerajaan Sarawak di bawah GPS, begitu banyak projek telah dilaksanakan, meskipun tidak dinafikan, disebabkan kekangan tertentu di luar kawalan, terdapat sedikit projek yang terlewat.
Dalam persaingan yang sering dibingkaikan sebagai soal Kuching dan Kuala Lumpur, ukuran seperti itu boleh menjadi penentu di peti undi.
Abdul Karim sudah menjawab soalan sama ada GPS mahu berkongsi kerusi dengan PKR.
Kini giliran setiap calon menjawab soalan yang lebih dekat dengan kehidupan dan kesejahteraan pengundi.
Apabila jalan ke kampung rosak lagi selepas hujan dan aduan sudah tiga kali dibuat, siapa yang akan mengangkat telefon, dan siapa yang akan memastikan jalan itu dibaiki?
Dengan lebih daripada 135 inisiatif dilaksanakan sejak Premier, Datuk Patinggi Abang Johari menerjaui Sarawak yang rata-rata menguntungkan rakyat termasuk 21 jambatan dengan kos hampir RM7 bilion, tentu kita sudah tahu jawapannya,
Ya, bagi pengundi sudah terang lagi bersuluh, bagaimana corak pertandingan dalam PRU DUN Sarawak ke-13 nanti.
Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik yang telah mengamati politik Sarawak untuk lebih empat dasawarsa.






