KUCHING: Hanya berbekalkan 48 jam rehat tanpa latihan penuh serta kehilangan tujuh tonggak utama akibat cedera, Kuching City FC tetap membuktikan kemampuan apabila mara ke final Piala FA buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berkata, disiplin pemain melaksanakan perancangan taktikal menjadi kunci kejayaan mengatasi Selangor FC 2-0 selepas mengharungi 120 minit aksi separuh akhir kedua Piala FA 2026/2027 di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
“Dengan jadual padat, kami hanya mempunyai dua hari untuk pemulihan tanpa latihan penuh.
Kami sekadar melakukan sedikit latihan taktikal, meneliti rakaman perlawanan dan menganalisis kekuatan lawan.
“Bukan mudah bermain selama 120 minit dengan rehat hanya 48 jam, tambahan pula tujuh pemain utama masih cedera. Namun, saya sentiasa mempercayai kemampuan semua pemain.
“Malam ini mereka membuktikan kesungguhan untuk mara ke final,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.
Menurut Aidil, pencapaian itu cukup bermakna kerana pemain berjaya mengekalkan intensiti permainan walaupun hanya mempunyai tempoh pemulihan singkat selepas menewaskan Gangwon FC 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2), Khamis lalu.
Mengulas percaturan taktikal, Aidil berkata kejayaan menyekat pergerakan pemain tengah Selangor, Eduardo Sosa, menjadi antara faktor penting dalam memastikan lawan sukar mengatur serangan.
“Kaishu Yamazaki dan Ryan Lambert bekerja keras menguasai bahagian tengah.
Kami juga berusaha mengehadkan pergerakan Hugo Boumous supaya Chrigor Moraes tidak mudah menerima hantaran di dalam kotak penalti.
“Pemain melaksanakan perancangan itu dengan sangat baik.
Terima kasih juga kepada semua yang memenuhi stadium dengan warna putih dan hijau.
Kemenangan ini bukan sahaja untuk Kuching, tetapi seluruh Sarawak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aidil mengakui pasukannya turut membuat persediaan untuk menghadapi kemungkinan penentuan sepakan penalti, namun lebih bertekad menyelesaikan perlawanan dalam tempoh permainan.
“Kami sebenarnya sudah berlatih mengambil sepakan penalti, tetapi mahu menamatkan perlawanan tanpa perlu melaluinya kerana ini gelanggang kami sendiri.
“Saya mahu Dylan Wenzel-Halls melakukan lebih banyak hantaran lintang selepas melihat pertahanan Selangor semakin keletihan.
Kami cuba memanfaatkan ruang di belakang benteng mereka dan perubahan itu akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Pada aksi berkenaan, Selangor terlebih dahulu mengancam kubu Kuching City menerusi dua percubaan A. Selvan pada separuh masa pertama, namun kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sehingga tamat 45 minit pertama.
Kuching City tampil lebih agresif selepas rehat sebelum dihadiahkan sepakan penalti susulan semakan video bantuan pengadil (VAR) terhadap kekasaran Harith Haiqal Adam Afkar ke atas Jerome Etame.
Safawi Rasid menyempurnakan sepakan itu pada minit ke-57 untuk menyamakan agregat 2-2, sekali gus memanjangkan perlawanan ke masa tambahan.
Ketika perlawanan seakan-akan menuju penentuan sepakan penalti, hantaran ke kawasan berbahaya Selangor tertampan pemain gantian, Mukhairi Ajmal, ke gawang sendiri pada minit ke-118.
Jaringan dramatik itu memastikan kemenangan agregat 3-2 di hadapan lebih 15,000 penyokong, sekali gus membawa The Cats ke final buat julung kalinya menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 16 Januari 2027.






