ARTIKEL

SATU KLIK,PADAH MENANTI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Ancaman keselamatan siber bukan lagi perkara yang boleh dipandang ringan apabila penjenayah kini menggunakan pelbagai taktik untuk menceroboh sistem, mencuri maklumat peribadi dan mengakses wang simpanan orang ramai.

Lebih membimbangkan, ancaman itu boleh bermula daripada tindakan yang kelihatan mudah, iaitu membuka fail yang diterima menerusi WhatsApp.

Peringatan mengenai ancaman tersebut semakin penting susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meminta rakyat supaya kekal tenang, namun sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan Malaysia menjadi sasaran serangan siber.

Perkembangan itu menunjukkan bahawa keselamatan digital bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau organisasi besar, sebaliknya turut melibatkan setiap individu yang menggunakan kemudahan teknologi dalam kehidupan seharian.

Malah, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah menaikkan penarafan tahap ancaman keselamatan siber negara daripada rendah kepada sederhana pada 4 November lalu sebagai langkah berjagajaga susulan perkembangan keselamatan semasa.

Dalam keadaan ini, masyarakat perlu memahami bahawa ancaman siber tidak semestinya melibatkan serangan terhadap sistem kerajaan atau organisasi kewangan berskala besar.

Pengguna biasa juga boleh menjadi sasaran menerusi kaedah yang lebih ringkas tetapi sukar dikesan.

Antara taktik yang perlu diberikan perhatian ialah penghantaran fail ZIP yang menyamar sebagai dokumen kewangan seperti penyata akaun, invois, bil atau dokumen pembayaran menerusi aplikasi WhatsApp.

Fail berkenaan lazimnya disertakan dengan mesej yang meminta penerima membuat semakan segera, membuka dokumen atau memuat turun kandungannya menggunakan komputer.

Lebih mengelirukan, mesej itu mungkin dihantar melalui akaun WhatsApp milik kenalan yang telah diceroboh.

Keadaan tersebut menyebabkan penerima lebih mudah mempercayai penghantar kerana mesej berkenaan kelihatan datang daripada individu yang dikenali.

Tanpa menyedari risiko di sebaliknya, mereka mungkin terus membuka fail berkenaan.

Hakikatnya, fail ZIP yang diterima tidak semestinya mengandungi dokumen seperti yang didakwa.

Menurut amaran Pusat Respons dan Penyelarasan Siber Negara Malaysia (MyCERT), kempen penipuan yang dikesan di Malaysia menggunakan fail sedemikian untuk menyebarkan perisian hasad yang membolehkan penjenayah mengawal komputer mangsa dari jauh.

Apabila mangsa mengekstrak fail dan menjalankan program berbahaya yang terkandung di dalamnya, penjenayah berpotensi mengakses maklumat yang tersimpan dalam peranti, termasuk maklumat log masuk dan data sensitif.

Risikonya bukan sekadar kehilangan dokumen atau gambar peribadi, malah turut melibatkan kemungkinan pendedahan maklumat perbankan yang disimpan atau diakses melalui peranti berkenaan.

Keadaan menjadi lebih serius apabila penjenayah berupaya memantau aktiviti mangsa, mencuri kata laluan dan mendapatkan maklumat berkaitan urusan kewangan.

Dalam keadaan tertentu, akses tersebut boleh membuka ruang kepada transaksi yang dilakukan tanpa kebenaran.

Lebih membimbangkan, akaun WhatsApp mangsa yang diceroboh juga berpotensi digunakan untuk menghantar fail berbahaya yang sama kepada kenalan lain.

Dengan cara itu, penipuan tersebut boleh terus merebak tanpa memerlukan penjenayah menghubungi setiap mangsa secara langsung.

Justeru, orang ramai tidak seharusnya menganggap setiap ail yang diterima daripada kenalan sebagai fail yang selamat.

Identiti penghantar sahaja tidak menjamin bahawa kandungan fail tersebut bebas daripada ancaman.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengeluarkan notis keselamatan pada 4 November lalu bagi mengingatkan orang ramai mengenai risiko fail ZIP, lampiran serta pautan yang mencurigakan yang disebarkan melalui WhatsApp.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya tidak membuka, memuat turun atau mengekstrak fail ZIP yang diterima tanpa diminta, khususnya daripada sumber yang tidak dikenali.

Sekiranya fail diterima daripada kenalan sendiri, ketulenan fail tersebut perlu dipastikan melalui panggilan telefon atau saluran komunikasi lain sebelum sebarang tindakan diambil.

Pengguna juga perlu memahami perbezaan antara dokumen yang sah dengan fail yang mengandungi program komputer.

Fail yang menyamar sebagai penyata bank tetapi meminta penerima menjalankan program atau aplikasi tertentu sepatutnya dianggap mencurigakan.

Pada masa sama, masyarakat perlu mengelakkan perkongsian kata laluan, nombor PIN, kod pengesahan transaksi (TAC) dan kata laluan sekali guna (OTP) dengan mana-mana pihak.

Institusi perbankan tidak akan meminta maklumat sulit tersebut melalui panggilan telefon atau pesanan ringkas.

Sekiranya menerima panggilan yang mendakwa bahawa terdapat transaksi yang mencurigakan dalam akaun, pengguna perlu menamatkan panggilan dan menghubungi pihak bank melalui nombor telefon rasmi. Jangan sesekali mengikut arahan individu yang mendesak supaya wang dipindahkan ke akaun lain atas alasan keselamatan.

Bagi mereka yang telah membuka atau menjalankan fail mencurigakan, tindakan segera perlu diambil dengan memutuskan sambungan internet pada peranti berkenaan.

Gunakan peranti lain yang dipercayai untuk menukar kata laluan, menyemak transaksi perbankan dan menghubungi pihak bank sekiranya terdapat risiko pendedahan maklumat kewangan.

Mangsa yang mengesyaki wang telah dipindahkan tanpa kebenaran pula perlu segera menghubungi pihak bank dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 serta membuat laporan polis.

Dalam menghadapi ancaman ini, institusi perbankan dan agensi keselamatan siber juga perlu terus mempergiat usaha untuk memberikan penerangan kepada masyarakat.

Amaran keselamatan perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami supaya orang ramai dapat mengenali taktik baharu sebelum menjadi mangsa.

Peranan keluarga juga penting, khususnya dalam membantu golongan warga emas dan individu yang kurang mahir menggunakan teknologi digital.

Perkongsian maklumat serta peringatan secara berterusan boleh membantu mengelakkan mereka daripada terpedaya dengan mesej atau fail yang mencurigakan.

Pada masa sama, pengguna perlu mengubah sikap ketika berurusan dalam talian dengan tidak mudah mempercayai setiap mesej, pautan atau dokumen yang diterima.

Sikap berhati-hati serta kesediaan untuk menyemak kesahihan maklumat merupakan langkah awal bagi melindungi keselamatan digital.

Ancaman siber mungkin semakin canggih seiring dengan kemajuan teknologi, namun tahap kesedaran masyarakat juga perlu dipertingkatkan agar tidak ketinggalan.

Justeru, tindakan membuka fail tanpa berfikir panjang mungkin membawa kesan yang jauh lebih besar daripada yang disangka.

Dalam dunia digital hari ini, sikap berhati-hati sebelum mengklik pautan atau membuka fail bukan lagi suatu pilihan, sebaliknya satu keperluan.

BERITA LAIN

Sarawak teroka hidrogen ganti bahan api fosil

BINTULU: Sarawak mempergiat transformasi sektor perindustriannya ke arah ekonomi rendah karbon menerusi pelaksanaan empat inisiatif perintis di bawah Kluster Peralihan Industri (Transitioning Industrial Clusters atau

BERITA TERBARU

Toleransi sifar rasuah, kepimpinan perlu jadi teladan

KUCHING: Pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) ISO 37001:2025 menjadi antara langkah penting Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) dalam memperkukuh integriti institusi dan memastikan setiap amanah