TEMASYA Sukan Sarawak IV 2026 yang berlangsung dari 5 hingga 8 Februari di tiga tempat berbeza, iaitu Sri Aman, Betong dan Lubok Antu, dilihat amat signifikan.
Ia bukan sahaja menjadi landasan untuk memperlihatkan kebolehan dan bakat atlet muda dari seluruh pelosok Sarawak yang mewakili empat pasukan bertanding, malah merupakan pendekatan awal dalam mengenal pasti atlet berbakat untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Dengan kata lain, kejohanan dwitahunan itu merupakan langkah awal bagi mempersiapkan atlet atau kontinjen Sarawak menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Datuk Gerald Rentap Jabu.
Menurut Gerald, penganjuran SUKSAR IV bukan sekadar medan pertandingan di peringkat negeri, malah merupakan platform strategik bagi membina keyakinan diri, meningkatkan daya saing serta mengumpul pengalaman berharga sebagai persediaan ke arah menghadapi SUKMA 2026.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak meletakkan harapan tinggi agar para atlet memanfaatkan sepenuhnya SUKSAR IV 2026 untuk membuktikan kemampuan sebenar, memperkukuh keyakinan diri dan menampilkan semangat juang yang tinggi.
“Saya menyeru semua atlet yang bertanding agar menjadikan temasya ini sebagai batu loncatan ke tahap yang lebih tinggi.
“Sasaran kita jelas, iaitu mahu mempertahankan gelaran juara keseluruhan SUKMA XXII di Selangor yang akan bermula dari 15 hingga 24 Ogos depan,” katanya.
Rentap menegaskan sasaran mempertahankan kejuaraan itu penting bagi membuktikan atlet Sarawak bukan sahaja mampu cemerlang di peringkat negeri, malah berkeupayaan bersaing secara konsisten di peringkat kebangsaan serta berpotensi melangkah ke arena antarabangsa.
Tambahnya, SUKSAR turut berperanan menguji atlet secara menyeluruh, bukan sahaja dari segi keupayaan fizikal dan teknikal, tetapi juga kekuatan mental, disiplin, daya tahan serta semangat kesukanan.
“Dalam arena sukan yang semakin kompetitif hari ini, kita memerlukan atlet yang bukan sahaja cemerlang di gelanggang, tetapi juga berintegriti, berkeyakinan, bermental kental serta mampu mengawal tekanan dalam situasi sebenar pertandingan.
“Inilah nilai dan aspirasi utama yang ingin diterapkan melalui penganjuran SUKSAR IV 2026,” jelasnya.
Dalam pada itu, seramai 773 atlet terlibat bagi merebut 345 pingat.
Sebanyak 105 pingat emas, 105 pingat perak dan 135 pingat gangsa menjadi rebutan.
Daripada jumlah tersebut, Zon Utara dengan kekuatan 227 atlet, Zon Tengah (171 atlet), Zon Barat (164 atlet) dan Zon Selatan (211 atlet) bersaing dalam 11 jenis sukan yang dipertandingkan.
“Temasya ini turut mengaktifkan persatuan sukan serta menyediakan pegawai teknikal bagi sukan terpilih ke arah pembangunan sukan Sarawak yang berterusan,” kata beliau.
Pasukan yang terlibat ialah Zon Selatan (Kuching, Kota Samarahan, Serian), Zon Barat (Sri Aman, Betong, Sarikei), Zon Tengah (Mukah, Kapit, Sibu) dan Zon Utara (Bintulu, Miri, Limbang).
Daripada 11 acara sukan yang dipertandingkan kali ini, lima acara diadakan di Sri Aman, iaitu sofbol, tinju, bola keranjang, pingpong dan petanque, manakala empat acara sukan diadakan di Betong, iaitu berbasikal, taekwondo, angkat berat dan bola jaring.
Sementara itu, dua acara sukan, iaitu karate dan sepak takraw, diadakan di Lubok Antu.



