ARTIKEL

Media bertanggungjawab jaga sensiviti hubungan Malaysia-Indonesia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia meminta media massa memainkan peranan mensejahterakan hubungan Malaysia dan Indonesia, dengan menghormati dasar atau kebijakan (polisi) kepimpinan kedua-dua negara.

Presiden ISWAMI Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata laporan media perlu menjurus kepada usaha mengukuhkan lagi hubungan dua hala, selain memahami isu-isu berkepentingan bersama.

“Malaysia dan Indonesia adalah negara serumpun, jika ada negara yang ditimpa musibah, kedua-dua negara akan sentiasa bersama menolong di peringkat kepimpinan dan rakyat.

Media pula perlu sentiasa mendokong apa jua usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani segala permasalahan atau isu-isu berkepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Merujuk kejadian bencana alam yang berlaku di Pulau Sumatera baru-baru ini dan pendirian Indonesia tidak menerima bantuan luar negara, media kedua-dua negara perlu berhati-hati dalam membentuk naratif pelaporan.

Pelaporan tepat amat penting bukan sahaja untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat sebenar, malah mengekalkan hubungan baik dan persefahaman antara kedua-dua negara jiran yang berkongsi sejarah, budaya, dan berkepentingan strategik serantau.

“ISWAMI Malaysia sentiasa menghormati segala dasar atau kebijakan (polisi) pemerintah Indonesia.

“Media Malaysia yang membuat liputan atau laporan bencana berkenaan perlu beretika, dan prihatin terhadap musibah yang berlaku di Aceh, atau beberapa wilayahi di Sumatera Utara.

“Laporan yang dibuat mestilah positif dalam usaha kita bersama-sama menangani isu bencana berkenaan tanpa memberikan naratif buruk yang boleh menjejaskan keharmonian kedua-dua negara,” katanya.

ISWAMI Malaysia yakin semangat ASEAN dan hubungan akrab kedua-dua negara yang dipimpin Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, akan terus merapatkan dua negara serumpun ini, serta saling memahami dan membantu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU