ARTIKEL

Media perlu patuh garis panduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KESEJAHTERAAN dan keharmonian yang dinikmati Sarawak hari ini bukan sesuatu yang harus diambil mudah kerana jika digugat, keadaan itu agak sukar untuk diperbaiki.

Demikian peringatan yang diberikan oleh Ketua Seksyen Regulatori Penerbitan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Sahubar Ibrahim Ismail Gani, berhubung bahan penerbitan yang boleh menimbulkan keresahan awam.

Sehubungan itu, beliau amat menekankan pentingnya pematuhan terhadap garis panduan KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 yang telah diwartakan.

Katanya, meskipun Malaysia, khususnya Sarawak, menikmati suasana aman dan makmur, keadaan itu tidak wajar dipandang ringan kerana ancaman berkaitan penerbitan kini muncul dalam bentuk yang lebih rumit.

“Ancaman dalam penerbitan meliputi isu kemoralan, ideologi, keselamatan negara, ketenteraman awam, kandungan yang bertentangan dengan undang-undang, selain bahan yang boleh memudaratkan kepentingan awam dan negara atau menggemparkan fikiran masyarakat.

“Apabila kita melihat keadaan di negara lain, barulah kita sedar betapa berharganya keamanan yang kita nikmati. Ketenteraman awam di Sarawak sangat terjaga dan perlu dipelihara.

“Seperti di Sarawak, kita sering melihat tulisan ‘Sarawak Maju Makmur’, dan setiap orang yang membaca ungkapan itu seolah-olah mendoakan serta menandakan bahawa negeri kita benar-benar aman dan makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kepada Suara Sarawak dan Sarawak Tribune.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir dan Pengarah KDN Negeri Sarawak, Asydidi Hamzah. 

Beliau berkata, kepimpinan politik di Malaysia dan Sarawak mempunyai rekod yang konsisten dalam menyatukan rakyat serta membawa pembangunan negara dan negeri ke arah kestabilan dan kemajuan.

Daripada sudut perundangan, beliau turut menerangkan bahawa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 mentakrifkan ‘akhbar’ sebagai sebarang penerbitan berkala yang memuatkan berita, penjelasan, laporan atau ulasan berkaitan perkara yang menjadi perhatian umum, termasuk majalah dan komik.

Beliau menjelaskan bahawa KDN juga menetapkan beberapa bentuk larangan dalam penerbitan. Antaranya ialah unsur hasutan politik, perkauman dan ekonomi, penggunaan istilah khusus agama Islam dalam bahan bukan Islam, penggunaan ayat alQuran dalam tulisan selain Arab kecuali terjemahan, kandungan mistik yang bertentangan dengan akidah, komik yang menggalakkan budaya samseng, petikan hadis tanpa sumber sahih, serta laporan terperinci mengenai jenayah berat.

Tambahnya, identiti kanakkanak yang terlibat atau menjadi mangsa jenayah tidak boleh diterbitkan, selaras dengan Seksyen 15(2)(a) dan (b) Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, segala garis panduan itu bukan untuk menyekat kreativiti atau kerja media, tetapi bagi memastikan keselamatan, keharmonian dan kepentingan masyarakat sentiasa terpelihara.

Pada masa sama, Sahubar turut mengingatkan bahawa isu sensitif, termasuk perbandingan negatif antara Sarawak, Sabah dengan Semenanjung, perlu ditangani dengan cermat kerana kandungan berbaur provokasi boleh membawa kesan yang tidak diingini.

Sementara itu, Dr Jeniri berkata taklimat yang disampaikan oleh Sahubar amat signifikan sebagai peringatan terhadap garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pengamal media.

“Taklimat yang diberikan oleh Ketua Seksyen Regulatori Penerbitan, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Sahubar Ibrahim Ismail Gani, penting untuk mengingatkan kami tentang garis panduan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Malah, sesi libat urus berkenaan membuka ruang dialog secara langsung antara media dengan KDN, khususnya dalam menerangkan had undangundang serta tanggungjawab wartawan dan editor dalam tugasan harian.

Beliau menambah bahawa garis panduan yang ditetapkan KDN bukan untuk mengehadkan kreativiti, tetapi berfungsi sebagai panduan jelas yang membantu wartawan memahami batas yang perlu dipatuhi dalam konteks masyarakat majmuk.

“Garis panduan ini bukan sekatan, tetapi pagar keselamatan. Ia melindungi kita daripada melangkaui sempadan yang boleh menimbulkan masalah. Kita mesti sensitif terhadap isu berkaitan raja, agama, kaum serta hubungan antara Semenanjung, Sabah dengan Sarawak,” jelasnya.

Beliau menegaskan semua anggota media, termasuk wartawan, subeditor, editor dan ketua editor, perlu memainkan peranan sebagai penapis maklumat (gatekeeper) yang bertanggungjawab, bukan sekadar mengejar kelajuan penerbitan.

“Ketua editor tidak mampu meneliti setiap halaman setiap hari. Jadi semua warga bilik berita perlu peka terhadap kesan setiap maklumat yang diterbitkan,” katanya.

Menurutnya, kesilapan fakta boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kredibiliti media.

“Sebab itu penting untuk kita memahami garis panduan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” tegasnya.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

Pilih makanan halal, berkhasiat

SOALAN: Adakah Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memilih makanan berkhasiat? JAWAPAN: Ya, Islam mengajar umatnya supaya memilih makanan yang halal, baik dan berkhasiat demi menjaga

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan