MULU: Sekumpulan 10 orang pengamal media dari Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) berjaya menamatkan ekspedisi menakluki Mulu Pinnacles di Taman Negara Mulu di sini.
Sekali gus merekodkan satu lagi kejayaan luar biasa yang dicapai dalam aktiviti pendakian tahunan KDJA itu, yang disokong oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ahli pasukan ekspedisi yang terdiri daripada semua agensi media di Sarawak bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada 29 Jun lalu dengan menaiki pesawat ringat MASwings.
Sejurus tiba di Lapangan Terbang Mulu, mereka terus dibawa oleh pemandu pelancong, Jason Lau untuk melihat ekosistem di sekitar kawasan Mulu yang kaya dengan biodiversiti termasuk kelawar, burung eksotik, tumbuhan endemik dan serangga unik termasuk di Gua Rusa yang mempunyai sistem gua terbesar di dunia dan juga Gua Lang.
Hari seterusnya, pasukan meneruskan ekspedisi di Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan menaiki bot menyusuri Sungai Melinau untuk ke Kem 5.
Dalam perjalanan ke Kem 5, pasukan turut singgah melawat gerai jualan kraf tangan masyarakat Penan di Kampung Batu Bungan dan kemudian ke Gua Angin dan Gua Air Jernih.
Selepas itu, pasukan meneruskan perjalanan ke Kem 5 dengan menempuh laluan berjalan kaki melalui hutan dari Long Litut sejauh sembilan kilometer yang memakan masa selama tiga jam.
Kem 5 merupakan pondok penginapan sebelum mendaki Pinnacles, dengan kemudahan elektrik hanya menggunakan solar dan litupan telekomunikasi menggunakan Wifi Starlink.

Pada hari ketiga, pasukan memulakan ekspedisi utama ke Mulu Pinnacles, merupakan satu puncak yang terletak di Taman Negara Mulu.
Cabaran mendaki ke Mulu Pinnacles sangat mencabar dan ekstrem, perlu menyusuri jejak Gunung Api sejauh 2.4 kilometer yang curam dan licin dengan cabaran akhir perlu memanjat menggunakan tali serta 17 tangga besi dan aluminium.
Setelah menempuh pendakian ke puncak Gunung Api (tempat Pinnacles berada) lebih kurang empat jam, ia nyata berbaloi apabila disajikan dengan pemandangan menakjubkan dari puncak Gunung Api iaitu lebih 100 formasi batu tajam yang menonjol dari hutan hijau, satu panorama yang sukar ditemui di tempat lain.
Pinnacles merupakan formasi batu kapur tajam yang terbentuk secara semula jadi, dengan ada yang mencecah tinggi lebih 45 meter.
Ia menjulang keluar dari hutan hujan tropika di lereng Gunung Api, menjadikannya salah satu struktur geologi yang unik di dunia.
Justeru, Presiden KDJA Ronnie Teo menyatakan penghargaan kepada Abang Johari di atas sokongan terhadap aktiviti tahunan KDJA itu.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Premier atas sokongan dan cabaran berterusan beliau kepada media di Sarawak melalui program ini.
“Kami berharap untuk meneruskan program ini dan mungkin akan mempertimbangkan kawasan lain di Sarawak untuk membolehkan media meneroka lebih banyak lagi dari halaman rumah sendiri,” katanya menerusi satu kenyataan.



