KUCHING: Media sosial perlu dibincangkan sebagai elemen penting dalam perintah tetap (standing order) bagi Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kata Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Beliau menegaskan bahawa elemen media sosial adalah penting untuk meningkatkan standard demokrasi berparlimen bagi memastikan kelancaran dan keteraturan undang-undang dan peraturan dalam sidang dewan.
“Kita tidak mahu keadaan parlimen atau dewan menjadi kucar-kacir. Kita mahu undang-undang dan peraturan yang teratur, sebab itu kita cadangkan supaya elemen media sosial dalam perintah tetap ini dibincangkan.
“Banyak perubahan telah berlaku, dan beberapa peruntukan dalam perintah tetap kini ketinggalan zaman,” katanya dalam sidang media mengenai Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024, di di Bilik Media Bangunan DUN Sarawak, hari ini.
Menjelas lanjut kata Asfia, fenomena baru seperti kebangkitan media sosial tidak diliputi dalam perintah tetap sama ada di Parlimen atau di DUN Sarawak.
Meskipun perintah tetap DUN Sarawak dianggap antara yang paling komprehensif, katanya ia tidak menyentuh bagaimana untuk membuat keputusan atau tindakan berkaitan dengan media sosial.
“Perkara ini adalah fenomena baru yang belum dibincangkan dalam peraturan mesyuarat Parlimen atau DUN Sarawak. Oleh itu, adalah penting untuk kita membincangkan perkara ini dalam Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024, nanti demi menjaga standard demokrasi berparlimen,” jelasnya.
Beliau juga menyatakan bahawa kritikan terhadap parlimen atau speaker yang disiarkan di media sosial, khususnya yang memperkecilkan keputusan speaker, tidak diambil kira dalam perintah tetap sedia ada.
“Jika media sosial mengkritik parlimen, mengkritik speaker, atau memperkecilkan keputusan speaker, perkara ini tidak termaktub dalam perintah tetap (standing order).
“Kadangkala, selepas speaker membuat keputusan, ahli parlimen mengadakan sidang media, malah ada kalanya, selepas keputusan speaker dibuat, komen mengenai keputusan atau rang undang-undang dalam dewan tumbuh seperti cendawan di media sosial.
“Jadi, apa yang perlu dilakukan? Kita akan mendengar pendapat dan pandangan daripada para speaker dalam persidangan ini nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai isu persempadanan semula, Asfia mengesahkan bahawa ia tidak akan dibincangkan dalam persidangan ini.
“Persempadanan semula sudah dilakukan di Sabah, namun bagi Sarawak, ia belum ada dalam agenda mesyuarat kali ini,” jelasnya.


