BINTULU: Media sosial tidak boleh dijadikan kayu ukur sebenar dalam menilai pembangunan dan masa depan Sarawak kerana platform itu sering dipenuhi pelbagai persepsi serta dakwaan yang tidak semestinya mencerminkan realiti di lapangan, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata, walaupun media sosial memberi ruang kepada masyarakat untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi maklumat, namun rakyat perlu mempunyai kebijaksanaan untuk menilai kesahihan sesuatu perkara sebelum menerimanya sebagai fakta.
Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri tidak boleh diukur berdasarkan kandungan yang tular di media sosial, sebaliknya perlu dilihat menerusi pencapaian pembangunan, kestabilan politik serta perancangan jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kadang-kadang di media sosial orang boleh bercakap apa sahaja. Ada yang berkongsi maklumat yang betul dan ada juga yang tidak tepat. Sebab itu rakyat perlu menilai sesuatu perkara berdasarkan fakta dan apa yang benar-benar berlaku di lapangan.
“Pembangunan tidak berlaku di media sosial. Pembangunan diukur melalui projek yang dilaksanakan, kemudahan yang dinikmati rakyat dan perancangan yang mampu membawa negeri ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Fasa Kedua bagi DUN Kemena kepada 43 penerima yang melibatkan peruntukan berjumlah RM594,400 di bilik mesyuarat Jabatan Pertanian Bintulu, hari ini.
Dr Rundi berkata dalam era digital ketika ini, cabaran utama ialah penyebaran maklumat yang sangat pantas tanpa semakan, sekali gus boleh membentuk persepsi awam yang tidak selari dengan realiti sebenar pembangunan negeri.
Sehubungan itu, beliau turut merujuk kepada pendekatan negara China dalam menguruskan penggunaan media sosial sebagai langkah memastikan kestabilan sosial dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Menurutnya, China yang mempunyai populasi melebihi 1.4 bilion penduduk melaksanakan kawalan dan garis panduan tertentu terhadap platform komunikasi digital bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh menggugat kestabilan negara serta keharmonian masyarakat.
Beliau berkata, antara pendekatan yang diamalkan termasuk pengawalseliaan platform digital tertentu serta penekanan terhadap kawalan kandungan komunikasi bagi memastikan aliran maklumat lebih teratur dalam skala populasi yang besar.
“Setiap negara mempunyai pendekatan berbeza. Di China, mereka melaksanakan kawalan tertentu kerana jumlah penduduk yang sangat besar memerlukan sistem pengurusan maklumat yang lebih tersusun bagi mengelakkan kekacauan.
“Apa yang boleh diambil sebagai pengajaran ialah kepentingan tanggungjawab dalam penggunaan media sosial, tanpa mengira negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia secara umumnya mengamalkan pendekatan lebih terbuka dalam penggunaan media sosial, namun kebebasan itu perlu disertai dengan kesedaran dan tanggungjawab sivik bagi mengelakkan penyalahgunaan platform digital.
Dr Rundi berkata, rakyat perlu memahami bahawa pembangunan Sarawak ketika ini adalah hasil perancangan jangka panjang kerajaan negeri yang disokong oleh kestabilan politik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan.
Menurutnya, antara inisiatif utama termasuk Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap projek pembangunan melalui proses penilaian teknikal oleh agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan pelaksanaannya teratur dan berkesan.

Beliau berkata, Sarawak kini berada pada landasan yang kukuh untuk muncul sebagai sebuah ekonomi maju menerusi pelbagai inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri.
Beliau menambahkan, selain memperkukuh sektor tenaga dan sumber asli, Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi baharu yang berasaskan teknologi tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), industri semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital.
Beliau berkata, usaha memperkasakan PETROS, pengambilalihan aset strategik termasuk Pelabuhan Bintulu serta pembangunan infrastruktur utama merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Sarawak pada masa hadapan.
“Semua ini bukan perkara yang boleh dilihat hanya melalui media sosial. Ia memerlukan perancangan jangka panjang, dasar yang jelas dan kestabilan politik yang membolehkan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan secara berterusan.
“Apabila kita bercakap tentang masa depan Sarawak, kita bercakap tentang peluang untuk anak-anak kita, ekonomi yang lebih kukuh dan kemampuan negeri untuk menentukan hala tuju pembangunannya sendiri,” katanya.



