Media sosial gugat perpaduan

KUCHING: Pengaruh internet dan penyebaran maklumat pantas media sosial memberi cabaran besar dalam usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di Sarawak.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, walaupun pengaruh internet dapat memberi kesan positif kepada masyarakat, tetapi ada pihak suka memuat naik berita tidak benar.

“Jika keadaan ini tidak dibendung, ia boleh mendatangkan masalah kepada perpaduan rakyat yang terjalin sejak sekian lama.

“Kita perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika menerima maklumat menerusi media sosial,” katanya.

Tambahnya, pastikan setiap maklumat yang diterima ditapis terlebih dahulu untuk membuktikan kesahihannya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Gawai 2019 Peringkat Dun Pantai Damai di Bandar Baru Samariang malam kelmarin.

Dr Abdul Rahman menyatakan usaha memecahkan perpaduan turut dilakukan oleh hasutan pihak tertentu. “Sebagai anak Sarawak, kita tidak mahu ada perpecahan berlaku. Kalau ada pihak luar cuba menghasut, kita mesti mengelak dan tidak terpengaruh dengan hasutan,” ujarnya. Menurutnya lagi, perpaduan rakyat Sarawak amat terserlah terutama ketika sambutan perayaan.

“Ketika sambutan Hari Gawai, setiap lapisan masyarakat tidak sabar menunggu hari istimewa itu begitu juga perayaan lain. Ia adalah satu keunikan yang hanya terdapat di Sarawak,” jelasnya.

Suara Sarawak