ARTIKEL

Fadillah (tengah) melancarkan gimik pelancaran MediRover dan MediDoc sambil disaksikan oleh tetamu yang hadir. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

MediRover dan MediDoc Rapat Jurang Akses Perkhidmatan Kesihatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Komuniti luar bandar Sarawak kini menikmati akses perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh dengan pelancaran inisiatif kesihatan digital baharu iaitu MediRover dan MediDoc.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, inisiatif yang dijalankan oleh Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (HPUNIMAS) dengan CelcomDigi ini memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, dengan membawa perkhidmatan kesihatan terus kepada masyarakat tanpa perlu ke hospital terdekat, sekali gus mengurangkan perjalanan pesakit.

Fadillah (kanan) mencuba pengimbas mata di MediRover sambil disaksikan oleh Profesor Dr Ahmad Hata Rasit (kiri) dan tetamu lain. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

“MediRover berfungsi sebagai klinik bergerak yang membolehkan pasukan doktor serta petugas perubatan mendekati komuniti, dan MediDoc sebagai klinik angkat yang menawarkan platform rundingan maya daripada pakar HPUNIMAS.

“Dengan keupayaan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang dimiliki CelcomDigi, ia menjadi contoh nyata bagaimana dasar digital negara diterjemah menjadi impak sebenar kepada rakyat.

“UNIMAS pula menjadi pemacu utama dalam perjalanan ini, khususnya melalui penyelidikan dalam bidang teleperubatan, sains data kesihatan dan penyampaian perkhidmatan kesihatan luar bandar yang terus memberi perbezaan besar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran MediRover dan MediDoc oleh HPUNIMAS dan CelcomDigi di HPUNIMAS, di sini, hari ini.

Fadillah (tengah) bersama rombongan melawat kemudahan di pusat Telekesihatan. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

Tegasnya, sektor kesihatan sentiasa menjadi salah satu tonggak utama pembangunan negara, terutamanya apabila Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menekankan keperluan pembaharuan bagi memastikan akses yang adil kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti dan mampu milik.

Dalam pada itu, beliau memuji langkah CelcomDigi, UNIMAS dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) sebagai kerjasama yang membolehkan hospital pengajar serta institusi penyelidikan meneroka pendekatan telekesihatan, latihan perubatan maya, dan penyelidikan klinikal berasaskan data.

“Marilah kita menjadikan kerjasama ini sebagai inspirasi untuk membina lebih banyak inisiatif yang menghubungkan hospital, klinik luar bandar dan komuniti melalui inovasi 5G dan AI,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, Kugan Thirunavakarasu menambah bahawa kerjasama tersebut akan membangunkan dan memperluas penyelesaian kesihatan pintar, melaksanakan projek rintis hospital berhubung, serta membina keupayaan tempatan melalui penyelidikan, latihan dan perkongsian ilmu.

“UNIMAS akan menerajui penyelidikan klinikal dan inovasi dalam bidang teleperubatan serta kesihatan mudah alih, manakala PPUM akan menyediakan kepakaran pakar serta mengesahkan model penjagaan kesihatan berasaskan AI.

“CelcomDigi pula akan menjadi tulang belakang digital melalui sambungan rangkaian, infrastruktur AI dan platform kesihatan pintar,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit berharap untuk memperoleh dana daripada kerajaan bagi melengkapkan semua 97 klinik kerajaan di seluruh Sarawak yang pada masa ini masih belum mempunyai akses kepada doktor, bagi membolehkan penyediaan perkhidmatan rundingan perubatan jarak jauh dan telekesihatan.

“Biarlah kita menjadi yang pertama di negara ini mencapai matlamat tersebut dengan bantuan CelcomDigi sebagai rakan teknologi yang dipercayai,” tegasnya.

Kugan Thirunavakarasu. GAMBAR: RAMIDI SUBARI

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sarawak teliti cadangan STOLport di Apau Koden

KUCHING: Cadangan pembinaan lapangan terbang pendek (STOLport) di Apau Koden akan diteliti bagi meningkatkan perhubungan udara untuk 27 kampung masyarakat Kenyah dan Penan di kawasan

Hamzah cadang subsidi lesen memandu untuk B40

KUCHING: Kos mendapatkan lesen memandu yang membebankan golongan berpendapatan rendah mendorong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim, mencadangkan skim subsidi bagi membantu