ARTIKEL

Gerald Rentap ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak (SIOTBC) 2026 di Megalanes Sarawak, di sini, semalam.

Megalanes Sarawak akan dinaik taraf untuk Sukan SEA 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Megalanes Sarawak di Batu Kawa yang dipilih sebagai lokasi acara tenpin boling Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 akan menjalani kerja naik taraf kemudahan sebagai persiapan menghadapi temasya berkenaan tahun depan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, kerja naik taraf tersebut melibatkan kemudahan serta peralatan berkaitan.

“Venue untuk acara tenpin boling pada Sukan SEA tahun depan memang di Megalanes Sarawak, seperti ditetapkan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) serta Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC).

“Jadi, kita akan melakukan sedikit penambahbaikan termasuk menaik taraf kemudahan seperti papan tanda serta lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Sarawak (SIOTBC) 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian di Megalanes Sarawak, di sini, semalam.

Selain itu, Gerald berkata, kejohanan percubaan juga akan diadakan bagi memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik, selain menguji kesiapsiagaan pegawai pertandingan sebelum temasya berlangsung.

“Biasanya sebelum Sukan SEA, akan diadakan kejohanan untuk menguji peralatan dan juga pegawai kita sekali lagi.

“Langkah tersebut turut membolehkan sebarang isu berkaitan aspek teknikal dan pengurusan pertandingan dikenal pasti lebih awal,” katanya.

Gerald menegaskan bahawa persiapan rapi itu bertujuan memastikan lokasi berkenaan berada pada tahap terbaik dan memenuhi keperluan penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa.

Megalanes Sarawak di Emart Batu Kawa dibina dengan kos sekitar RM19 juta pada 2016 dan diiktiraf sebagai antara kemudahan tenpin boling bertaraf antarabangsa terbaik di rantau Asia.

Pusat berkenaan mempunyai 42 lorong yang dilengkapi teknologi digital terkini, sekali gus menyediakan kemudahan pertandingan dan latihan bertaraf tinggi kepada atlet tempatan serta antarabangsa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU