MUKAH: Seorang mekanik ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan di hadapan rumah pekerja syarikat kuari Jalan Mukah-Selangau, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, suspek yang berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira 11.50 pagi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
“Hasil pemeriksaan menjumpai satu keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu dalam simpanan suspek.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas ialah 0.43 gram. Suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujian urin ke atas suspek mendapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ujar Rizal, hasil siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Dalam perkembangan sama, suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mukah atas pertuduhan memiliki dadah, lebih kurang 9 pagi, hari ini.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Romario Jonoi dan tiada sebarang pengakuan dirakam daripada tertuduh.
“Inspektor Mohd Nazri Harissman Daee sebagai pegawai pendakwa memohon ditetapkan tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia barang kes siap.
“Majistret Romario Jonoi membenarkan permohonan itu dan menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan lanjut,” jelasnya.
Tambah Rizal, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela diperintahkan diberi jaminan mahkamah RM3,000 dengan dua penjamin tempatan.


