KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana menendang sebuah kereta jenis Mitsubishi hingga kemek.
Thian, 44, yang bekerja sebagai mekanik, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah DayangKu Afiqah Alya AwangKu Johari.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana melakukan khianat merosakkan harta sebuah kereta.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah bengkel di Siburan sekitar pukul 2 petang, 21 November lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh bersama dua orang rakannya telah pergi ke sebuah bengkel kereta dengan menaiki sebuah kereta.
Dia pergi ke tempat tersebut kerana hendak berjumpa dengan pengadu berhubung perselisihan faham mengenai gegelung pencucuh kereta.
Berlaku pertengkaran mulut antara mereka berhubung perkara itu.
Selepas pertengkaran itu, tertuduh menendang kerusi dan bahagian belakang kereta sehingga kemek.
Fatt Kui lalu meninggalkan tempat kejadian bersama-sama rakannya.
Laporan polis lalu dibuat oleh pengadu untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Hasil siasatan polis mendapati bahawa perbuatan tertuduh menendang kereta tersebut telah disaksikan oleh beberapa orang saksi di tempat kejadian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



