KUCHING: Pembukaan Melinau EV Showroom bukan sekadar ruang runcit, tetapi juga merupakan simbol kemajuan, inovasi dan komitmen terhadap masa hadapan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melinau EV Showroom, David Yii Teck Sing.
Beliau, yang juga Pengarah Eksekutif Melinau EV Showroom, berkata industri automotif kini sedang mengalami transformasi besar.
Katanya, dengan perkembangan pesat teknologi kenderaan elektrik (EV), mereka kini berada di persimpangan perubahan.
“Permintaan terhadap penyelesaian pengangkutan mampan di Malaysia kini semakin meningkat.
“Justeru, pelancaran bilik pameran ini mencerminkan dedikasi kami dalam memenuhi keperluan tersebut,” katanya.

David berucap pada Majlis Pembukaan Melinau EV Showroom di Melinau EV Sdn Bhd di sini hari ini.
Beliau percaya bahawa kenderaan elektrik bukan sekadar masa hadapan, tetapi merupakan realiti masa kini.
Syarikat mereka bukan sahaja menawarkan kenderaan, tetapi juga memberikan peluang kepada pelanggan untuk menjadi sebahagian daripada masa hadapan yang mampan.
“Selain itu, kita juga boleh mencipta masa hadapan yang mengandungi udara bersih, kurang pencemaran bunyi, dan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan jejak karbon kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, David menjelaskan bahawa bilik pameran tersebut turut menjadi komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap inovasi dan kemampanan.
“Kami telah berusaha keras dalam memastikan tempat ini bukan sekadar ruang untuk mempamerkan Proton eMAS, tetapi juga tempat bagi pelanggan merasakan sendiri potensi mobiliti elektrik.
“Daripada model elektrik terkini kepada teknologi canggih, kami yakin setiap kunjungan ke sini akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi setiap pelanggan,” jelasnya.
Tambahnya, bilik pameran itu juga berfungsi sebagai pusat pendidikan dan interaksi.
“Kami ingin memberi inspirasi kepada pelanggan untuk melangkah ke arah mobiliti elektrik dengan penuh keyakinan.
“Pakar jualan kami yang berpengetahuan luas juga sedia memberikan maklumat dan bimbingan tentang pelbagai kelebihan kenderaan elektrik, termasuk kos penyelenggaraan yang lebih rendah serta manfaat jangka panjang terhadap alam sekitar,” jelasnya lanjut.
Pada masa sama, beliau berbangga kerana menjadi sebahagian daripada transformasi ini, namun menyedari bahawa semua ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan daripada rakan kongsi dan kolaborator yang berkongsi visi serta komitmen terhadap komuniti yang lebih bersih dan hijau.


