ARTIKEL

Steven menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memanah Tradisional Dinamik 2026 anjuran Kelab Memanah Artiqa.

Memanah tradisional berpotensi jadi tarikan pelancongan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Aktiviti memanah tradisional berpotensi dikembangkan sebagai salah satu tarikan pelancongan berasaskan komuniti, khususnya apabila dianjurkan di kawasan luar bandar yang mempunyai keunikan alam semula jadi dan budaya tersendiri.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng berkata, penganjuran pertandingan memanah di lokasi seperti Kampung Nelayan Batu Mandi, Likau, bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat menyertai aktiviti sukan, malah mampu memperkenalkan potensi kawasan berkenaan kepada pengunjung luar.

Menurutnya, kehadiran peserta dan pengunjung dari luar kawasan bagi menyertai atau menyaksikan pertandingan secara tidak langsung boleh memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Saya teruja melihat Kampung Nelayan Batu Mandi dipilih sebagai lokasi pertandingan kerana ia sedikit sebanyak membantu merancakkan ekonomi penduduk setempat, selain memperkenalkan keunikan kawasan ini kepada pengunjung luar,” katanya.

“Dengan keindahan alam semula jadi dan suasana kampung nelayan yang menarik, kawasan ini mempunyai potensi untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan komuniti dan ekopelancongan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Memanah Tradisional Dinamik 2026 anjuran Kelab Memanah Artiqa di Kampung Nelayan Batu Mandi pada Sabtu.

Steven berkata, potensi berkenaan boleh diperkukuh menerusi penganjuran lebih banyak pertandingan dan aktiviti memanah tradisional dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

Katanya, usaha memperluas kerjasama itu bukan sahaja dapat meningkatkan penyertaan masyarakat dalam sukan memanah, malah membuka ruang untuk mencungkil bakat baharu.

“Saya menyambut baik cadangan dan perancangan pihak kelab untuk berkolaborasi dengan NGO lain dalam menganjurkan lebih banyak aktiviti dan pertandingan seumpama ini pada masa akan datang,” ujarnya.

“Selain mencungkil bakat baharu, program seperti ini dapat memupuk semangat persahabatan dan kerjasama, di samping mengeratkan hubungan komuniti serta memelihara warisan budaya,” tambahnya.

Beliau berkata, penganjuran program berasaskan sukan di kawasan luar bandar juga boleh menjadi platform untuk mengetengahkan keunikan sesuatu lokasi, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung.

Sehubungan itu, Steven berharap kerjasama antara Kelab Memanah Artiqa dengan NGO lain dapat direalisasikan bagi memperbanyak program yang menggabungkan elemen sukan, komuniti dan ekopelancongan.

“Lebih banyak aktiviti seperti ini wajar dianjurkan di kawasan luar bandar kerana ia bukan sahaja memberi manfaat dari sudut sukan dan sosial, tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada penduduk serta mengetengahkan potensi pelancongan setempat,” katanya.

Steven mencuba kemahiran memanah sempena Pertandingan Memanah Tradisional Dinamik 2026 anjuran Kelab Memanah Artiqa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah