ARTIKEL

Dr Abdul Rahman mewakili Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merasmikan Kursus Perdana Rantaian Industri Nanas Negeri Sarawak 2026.

Memanfaatkan sulur dan sisa tanaman nanas sebagai sumber ekonomi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pekebun nanas Sarawak digalak melihat tanaman itu bukan sekadar menghasilkan buah, sebaliknya turut memanfaatkan sulur dan sisa tanaman sebagai sumber ekonomi, menerusi pendekatan “Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai”.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata pendekatan berkenaan mampu meningkatkan nilai ekonomi tanaman nanas selain mengurangkan pembaziran sumber.

“Buah boleh dijual segar atau diproses. Sulur boleh menjadi sumber bahan tanaman, manakala sisa pula boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk bernilai tambah seperti kompos, makanan ternakan dan produk berasaskan bio,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail ketika merasmikan Kursus Perdana Rantaian Industri Nanas Negeri Sarawak 2026 di Hotel 56, di sini, hari ini.

Menurut Dr Rundi lagi, konsep berkenaan mencerminkan pendekatan ekonomi kitaran yang perlu dibangunkan dalam industri nanas Sarawak bagi memastikan setiap bahagian tanaman mempunyai nilai komersial.

“Kita tidak mahu pekebun melihat hanya buah sebagai sumber pendapatan. Sebaliknya, kita perlu melihat buah, sulur atau benih dan sisa tanaman sebagai tiga sumber nilai ekonomi,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembangunan industri nanas juga bukan semata-mata mengenai pertambahan keluasan tanaman, tetapi perlu memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan pekebun dan pembentukan rantaian nilai yang lebih lengkap.

Katanya, pertumbuhan industri itu akan turut membuka ruang kepada lebih ramai agropreneur, pengusaha pemprosesan, pemasar, pengendali logistik, penyedia teknologi, pengeksport dan tenaga kerja mahir.

“Pertanian hari ini bukan lagi sekadar kerja di ladang. Pertanian adalah perniagaan, teknologi, data, inovasi dan keusahawanan,” ujarnya.

Tambahnya, pendekatan “Sekali Tanam, Tiga Kali Tuai” juga mampu menjadikan industri nanas lebih berdaya saing dengan mempelbagaikan sumber pendapatan dan menghasilkan produk hiliran.

“Usaha ini selari dengan hasrat kerajaan menjadikan Sarawak sebagai hab utama pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan eksport nanas pada masa depan,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai