ARTIKEL

Membaca bukan pilihan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JUMAAT minggu lalu, ketika melangkah ke dalam masjid untuk menunaikan solat Jumaat, saya disapa oleh Pok Dan — saudara yang juga sahabat rapat bapa saya sejak zaman muda di Kampung Semera.

Wajahnya tenang seperti biasa, dengan senyuman yang tidak pernah lekang.

Itu pertemuan kedua kami dalam Syawal, selepas kunjungan ke rumahnya pada pagi pertengahan Syawal lalu.

Ketika bersalaman, seperti ada sesuatu yang ingin disampaikannya. “Ada kamek baca artikel kitak pagi tek,” katanya perlahan tetapi jelas.

Saya tersenyum. Ayat yang hampir sama ketika kunjungan raya tempoh hari.

Pok Dan, sebagaimana gelaran yang diberikan oleh bapa saya, sering memberitahu bahawa dia mengikuti tulisan saya dalam kolum ini.

Saya mengucapkan terima kasih tetapi dalam hati ada satu getar kecil berkata, “Ada juak orang baca kolum aku duhal”.

Perasaan itu mungkin nampak remeh, tetapi bagi seorang penulis, ia cukup besar maknanya.

Lebih-lebih lagi apabila kita tahu ada tokoh-tokoh yang lebih berpengaruh, lebih terkenal dan mempunyai kelompok pembaca tersendiri turut membaca tulisan kita.

Dalam diam, saya sedar tulisan saya bukan yang paling menonjol, tetapi masih ada yang sudi meluangkan masa untuk membaca.

Itu sudah lebih daripada cukup.Namun, kolum kali ini bukan sekadar tentang penghargaan terhadap pembaca setia seperti Pok Dan.

Ia sebenarnya membawa saya kembali kepada satu perkara iaitu budaya membaca.Saya teringat pada hari pertama melapor diri sebagai pemberita kadet 29 tahun lalu.

Hari itu bukan sahaja menandakan permulaan kerjaya, tetapi juga permulaan satu disiplin yang agak ‘keras’ bagi saya ketika itu. Saya ‘dipaksa’ membaca semua surat khabar — dari muka depan hingga ke muka terakhir.“

Termasuk halaman nombor ekor,” pesan bos saya dengan tegas. Pada awalnya, saya sedikit hairan.

Apa perlu membaca semua itu? Bukankah cukup sekadar membaca berita utama atau isu-isu besar? Tetapi dalam dunia kewartawanan, jawapannya mudah — ia tidak cukup.

Membaca secara menyeluruh melatih kita memahami konteks. Ia mengajar kita melihat hubungan antara satu isu dengan isu yang lain.

Bahkan halaman yang dianggap remeh pun ada nilainya kerana di situlah kadangkala terselit denyut nadi masyarakat yang sebenar.

Bentuk cara berfikirDari situlah, saya mula memahami bahawa membaca bukan sekadar untuk mengetahui, tetapi untuk membentuk cara berfikir.

Saya juga tidak pernah lupa dengan kata-kata Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dalam satu program sastera.

Katanya, beliau akan membaca apa-apa sahaja bahan yang ditemui walaupun hanya sehelai kertas yang dikutip di jalanan. Apa-apa sahaja yang tertulis, akan dibaca.

Pada waktu itu, saya menganggap ia sebagai satu sikap luar biasa. Tetapi semakin lama, saya sedar, itulah sebenarnya asas kepada budaya ilmu. Membaca bukan bergantung kepada bahan yang hebat atau buku yang mahal.

Ia bermula daripada keinginan untuk memahami.Pada peringkat awal, saya membaca kerana dipaksa. Ia satu rutin yang kadangkala membebankan. Namun lama-kelamaan, paksaan itu berubah menjadi kebiasaan.

Dan, daripada kebiasaan, ia menjadi keperluan.Sebagai pemberita, membaca bukan lagi pilihan.

Ia menjadi asas untuk menulis dengan lebih tajam, lebih berisi dan lebih bertanggungjawab.Hari ini, dunia sudah jauh berubah.

Telefon pintar berada di tangan setiap orang. Maklumat bergerak pantas hingga kadangkala kita tidak sempat mencerna apa-apa yang dibaca. Tajuk dibaca, isi dilangkau. Fakta dipetik, konteks pula diabaikan.Dalam keadaan itu, budaya membaca akhbar secara tradisional semakin terpinggir.

Namun, dalam diam, masih ada kelompok yang setia — warga emas seperti Pok Dan.Bagi mereka, membaca akhbar bukan sekadar untuk mengetahui berita. Ia rutin harian yang membawa ketenangan.

Duduk di beranda rumah, di warung kopi atau di ruang tamu, mereka membuka helaian demi helaian dengan penuh tertib.

Dibaca perlahan-lahan daripada tajuk utama hingga kepada rencana.Mereka tidak tergesa-gesa.

Tidak melompat daripada satu isu kepada isu lain seperti yang sering berlaku di skrin telefon.Mereka membaca dengan cara yang berbeza. Mereka meneliti, menimbang dan kadangkala mengulang bacaan.

Dari situlah lahir pandangan yang lebih mendalam, yang bukan sekadar reaksi spontan. Ironinya, ketika generasi muda semakin selesa dengan maklumat ringkas dan pantas, warga emas masih setia kepada bacaan yang tersusun dan menyeluruh.

Dalam kesederhanaan itu, ada kekuatan yang sering kita abaikan. Saya sendiri banyak belajar daripada kelompok ini. Mereka mungkin tidak lantang bersuara di media sosial.

Mereka tidak mengejar perhatian atau populariti, tetapi mereka membaca, memahami, dan menyimpan pandangan.PenghargaanDan, itu sebenarnya lebih bernilai daripada sekadar komen panjang di ruang maya.

Sokongan mereka juga berbeza yang tidak disertai tanda suka atau perkongsian. Hanya satu ayat ringkas ketika bersua; “Ada kamek baca.

”Tetapi di sebalik ayat itu, ada penghargaan yang tulus.Mungkin sudah tiba masanya kita melihat semula makna membaca. Bukan sekadar sebagai aktiviti mengisi masa, tetapi sebagai latihan berfikir.

Dalam dunia yang semakin luas dengan maklumat, kemampuan untuk membaca dengan teliti menjadi satu kelebihan yang besar.Dan, dalam usaha itu, kita tidak seharusnya memandang rendah kepada generasi lebih tua.

Mereka bukan ketinggalan, sebaliknya masih memegang nilai yang semakin hilang.Budaya membaca tidak lahir dalam sehari. Ia tidak terbentuk hanya dengan kemahuan. Kadangkala, seperti yang saya alami, ia bermula dengan paksaan.

Tetapi jika paksaan itu disertai dengan kesedaran, ia akan kekal. Kerana akhirnya, membaca bukan sekadar tentang apa-apa yang kita lihat pada kertas atau skrin, sebaliknya tetapi tentang bagaimana ia membentuk cara kita memahami dunia.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU