ARTIKEL

Gerawat Gala ketika ditemu bual pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri.

Memori bersama ibu bapa kehilangan terbesar bagi Gerawat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Memori bersama ibu bapa menjadi kehilangan terbesar bagi Datuk Gerawat Gala meskipun pelbagai barangan antik dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit musnah dalam kebakaran yang meranapkan rumah peninggalan ibu bapa yang diwariskan kepadanya.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) itu, rumah kampung berstruktur kayu itu yang terletak di kampung halamannya, Kampung Pa’ Umor, Bario dibina kira-kira lebih 30 tahun lalu dengan penduduk yang membinanya kini juga sudah tiada.

“Kehilangan harta benda akibat kejadian kebakaran adalah perkara biasa namun apa yang menyedihkan saya adalah memori bersama-sama ibu bapa dan generasi yang membina rumah tersebut dahulu,” katanya ketika ditemu bual pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri, di sini.

Gerawat menambah, rumah itu turut menyimpan pelbagai kenangan manis kerana pernah didiami rakan-rakan, saudara-mara serta menteri dari peringkat negeri dan persekutuan serta duta-duta, organisasi korporat dan ramai lagi.

“Saya mempunyai begitu banyak kenangan manis di rumah tersebut, dan Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu (bekas Ketua Menteri) telah menghubungi saya untuk bertanya tentang kejadian itu kerana beliau juga pernah tinggal di rumah itu dahulu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Yang Dipertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut meluahkan rasa simpati kepadanya berhubung kejadian berkenaan.

Sementara itu, Gerawat berkata semasa kejadian, beliau berada di Kuching dan bergegas balik ke Bario pada Ahad, sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu dengan menaiki helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBP).

“Berdasarkan siasatan bomba, mereka memberitahu kemungkinan besar kejadian berpunca daripada elektrik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan penghargaan kepada semua pihak terlibat, khususnya penduduk kampung, Pasukan Bomba Sukarela Bario, anggota polis serta tentera darat, yang membantu memadamkan kebakaran rumahnya itu.

BERITA LAIN

LCDA diminta bawa model Gedong, Lawas ke Spaoh

SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) diminta membawa model pembangunan terbaik yang dilaksanakan di Gedong dan Lawas untuk diperluas ke Bahagian Betong, khususnya Spaoh.

BERITA TERBARU