Sejak kecil, kita sering didedahkan kepada peribahasa “sikit-sikit, lama-lama jadi bukit” yang lazimnya dikaitkan dengan amalan menabung.
Peribahasa ini bukan sekadar ungkapan, malah membawa mesej penting mengenai nilai kesabaran, disiplin dan perancangan dalam menguruskan kewangan.
Saya percaya hampir setiap daripada kita pernah memiliki tabung semasa kecil. Ada yang memilih tabung berbentuk haiwan, watak kartun atau reka bentuk yang menarik semata-mata untuk memupuk minat menyimpan wang sejak usia muda.
Amalan menabung pada peringkat awal mungkin kelihatan kecil dan tidak memberi kesan yang besar. Namun, jika dilakukan secara berterusan, jumlah yang terkumpul mampu memberikan manfaat yang besar pada masa hadapan.
Kita juga sering melihat perkongsian di media sosial mengenai kejayaan individu yang berjaya membeli barangan bernilai tinggi, memiliki aset atau melancong ke luar negara hasil daripada disiplin mereka dalam menguruskan kewangan dan mengumpul simpanan.
Namun realitinya, amalan menabung bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan jika seseorang tidak mempunyai disiplin atau sering mengambil semula wang yang telah disimpan.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan peningkatan kos sara hidup ketika ini, ramai beranggapan bahawa mereka tidak mampu menyimpan kerana pendapatan bulanan hanya cukup untuk memenuhi keperluan asas.
Bagaimanapun, dengan pengurusan kewangan yang bijak dan perancangan yang teratur, amalan menabung masih mampu dilakukan walaupun dengan jumlah yang kecil.
Perkara yang paling penting ialah kesungguhan untuk memulakan langkah pertama serta konsisten dalam melakukannya.
Antara langkah yang boleh diambil ialah mengasingkan pendapatan bulanan mengikut keperluan, komitmen dan simpanan.
Sebaik-baiknya, wang untuk simpanan perlu diketepikan terlebih dahulu sebelum membuat perbelanjaan lain supaya ia tidak terjejas akibat penggunaan wang yang berlebihan.
Selain memastikan komitmen bulanan dilunaskan, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah berbelanja mengikut keperluan dan bukannya memenuhi kehendak semata-mata.
Dalam keadaan harga barangan yang semakin meningkat, sikap berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran perlu dijadikan amalan dalam kehidupan seharian.
Keperluan merangkumi perbelanjaan yang tetap dan boleh dijangka seperti pembelian makanan, pembayaran kenderaan, ansuran rumah, bil utiliti serta bayaran hutang.
Perbelanjaan sebegini perlu diberi keutamaan kerana berkait rapat dengan kelangsungan kehidupan harian.
Manakala kehendak pula lebih bersifat fleksibel dan tidak semestinya diperlukan.
Antaranya termasuklah kecenderungan membeli barangan berjenama, mendapatkan pakaian baharu setiap kali jualan promosi, kerap menikmati makanan di restoran mahal atau berbelanja untuk perkara yang tidak dirancang.
Pengurusan kewangan yang bijak bukan sahaja membantu seseorang menghadapi situasi kecemasan seperti kehilangan pendapatan atau peningkatan kos yang tidak dijangka, malah mampu membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran ekonomi.
Golongan muda yang baru memperoleh pendapatan sendiri juga sering berdepan dengan cabaran mengawal perbelanjaan.
Antara cabaran tersebut ialah kecenderungan berbelanja untuk perkara kecil yang dilakukan secara berulang, seperti membeli minuman kopi berharga tinggi setiap hari.
Mungkin jika dilakukan sekali-sekala, amalan tersebut tidak memberikan kesan yang besar terhadap kewangan.
Namun, jika menjadi rutin harian, jumlah perbelanjaan tersebut boleh terkumpul dalam tempoh yang panjang dan menjejaskan kemampuan seseorang untuk menyimpan wang.
Selain memberi kesan terhadap kewangan, pengambilan minuman bergula secara berlebihan juga boleh menjejaskan kesihatan serta meningkatkan risiko penyakit seperti diabetes.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini, perubahan pemikiran masyarakat terhadap pengurusan kewangan amat penting.
Kita perlu lebih berdisiplin, bijak membuat keputusan serta mengelakkan diri daripada berbelanja untuk perkara yang kurang memberi manfaat.
Sehubungan itu, disiplin diri merupakan antara cabaran terbesar dalam usaha menabung kerana godaan untuk berbelanja sering kali lebih kuat berbanding keinginan untuk menyimpan.
Tanpa kawalan diri yang baik, perancangan kewangan yang dibuat mungkin sukar untuk dicapai.
Bagi mengatasi cabaran tersebut, seseorang perlu menetapkan matlamat kewangan yang jelas.
Matlamat yang menarik dan realistik dapat menjadi pendorong untuk terus konsisten menyimpan, sama ada bagi tujuan membeli aset, melanjutkan pendidikan, melancong atau menyediakan dana kecemasan.
Selain itu, perancangan kewangan yang telah dibuat perlu dipatuhi walaupun berdepan dengan pelbagai godaan.
Setiap individu perlu sentiasa mengingatkan diri tentang matlamat asal supaya tidak mudah terpengaruh dengan perbelanjaan yang tidak dirancang.
Bukan itu sahaja, kewujudan pelbagai pilihan makanan dan hiburan pada masa kini juga memerlukan kita menetapkan had perbelanjaan.
Perbelanjaan untuk perkara tersebut perlu dikawal dan digunakan secara berhemah agar tidak mengganggu kewangan bulanan.
Bagi membantu mengurus pendapatan dengan lebih sistematik, orang ramai boleh mengamalkan kaedah 50-30-20 sebagai panduan pengurusan kewangan peribadi.
Melalui kaedah ini, 50 peratus daripada pendapatan diperuntukkan untuk keperluan utama seperti makanan, tempat tinggal dan komitmen bulanan.
Sebanyak 30 peratus pula boleh digunakan untuk memenuhi kehendak atau gaya hidup, manakala 20 peratus lagi disimpan sebagai simpanan dan pelaburan.
Walaupun perubahan dalam cara mengurus kewangan mungkin kelihatan sukar pada peringkat awal, ia perlu dilihat sebagai satu strategi jangka panjang untuk mencapai kestabilan kewangan dan merealisasikan impian.
Amalan menabung bukan sekadar tentang jumlah wang yang berjaya dikumpul, tetapi lebih kepada pembentukan sikap bertanggungjawab terhadap kewangan sendiri.
Dengan disiplin dan konsistensi, jumlah kecil yang disimpan hari ini mampu menjadi bekalan penting pada masa akan datang.
Justeru, walaupun prosesnya mengambil masa yang panjang, tabungan yang dibina secara teratur dan berterusan mampu memberikan kestabilan kewangan serta membuka peluang untuk mencapai matlamat hidup yang diimpikan.






