Menanti Bajet 2021 di tangan Zafrul

‘ RESTART.’ Itu yang dijangka akan dipersembahkan kepada rakyat Malaysia sewaktu pembentangan Bajet 2021 pada Jumaat ini.

Ia merupakan bajet pertama yang dibentangkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional, dan juga kali pertama oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz — menteri yang masih muda dengan latar belakang korporat yang mengagumkan.

Memimpin negara ketika ekonomi terhenti memang menyakitkan.

Tetapi Zafrul dan rakan-rakan yakin, itu bukan penamat segala-galanya.

Justeru dengan sokongan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau yakin sesuatu yang baharu boleh dilakukan pada Jumaat ini.

Beliau perlu berani ‘memberi sesuatu’ kepada rakyat untuk memulihkan keyakinan mereka, bahawa Malaysia belum kalah oleh Covid-19.

Ekonomi kreatif masih berjalan dan rakyat perlu menyokong usaha kerajaan ketika ini. Ironinya, apa yang diusahakan oleh Zafrul dan Kabinet Malaysia tidak pula dilakukan oleh Kabinet terdahulu.

Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng cukup pesimis, dan sentiasa memberi bayangan ekonomi negara negatif dan hampir lumpuh.

Kewangan negara mengempis teruk dan tabungan hancur — hingga menyebabkan kerajaan terpaksa meminta lebih daripada Petronas serta menjual hartanah milik Tabung Haji dan Felda.

Semuanya untuk menyuntik dana ke dalam ekonomi. Beberapa projek penting, termasuk jambatan yang telah diluluskan di Sarawak dibatalkan.

Malah kerajaan Sarawak dan rakyat dipermainkan — perlu membayar RM1 bilion sebelum Kerajaan Persekutuan membina sekolah daif di negeri itu, walhal ia adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Untuk rekod, dalam Bajet 2020 yang dibentangkan pada Oktober tahun lalu, Lim Guan Eng mengunjurkan RM297 bilion untuk perbelanjaan pekerjaan, dengan RM241 bilion untuk perbelanjaan operasi dan RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Pendapatan kerajaan pula diunjurkan sekitar RM244.5 bilion.

Bukan orang politik, sebaliknya seorang tokoh korporat dan perbankan yang memahami struktur sebenar ekonomi negara, Zafrul tidak banyak bercakap ketika bekerja.

Umum tahu, bukan senang untuk mengendalikan ekonomi negara ketika ini, apabila ramai yang hilang kerja, dan perniagaan terpaksa ditutup, hingga ada yang gulung tikar.

Namun Menteri Kewangan yang suka berjoging setiap waktu cuti ini tidak pernah merungut.

Sejak beberapa bulan lalu, beliau melahirkan keyakinan kita mampu melepasi episod sakit ini.

Motivasinya sangat tinggi, hingga menjanjikan bajet pada Jumaat ini lebih besar, lebih inklusif dan lebih bertenaga.

Beliau yakin ekonomi negara tidak terus Melayu, terapi boleh disegarkan dengan mencipta lebih banyak pekerjaan dan peluang niaga.

Realitinya memang lojik, kerana ketika ini, tidak pula Covid-19 menggigit teruk ekonomi Malaysia yang dulu diistilahkan suram.

Biarpun berbilion-bilion ringgit duit dihulurkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk, tanpa sebarang imbuhan balasan, tidak pula terkesan kelembapan ekonomi.

Projek malah mula digerakkan dalam ruang batasnya tersendiri. Cuma yang menjadi isu sekarang ini, ialah perkara yang bukan ekonomi, seperti tenaga kerja mahir dan kesukaran mendapatkan bahan mentah.

Dek kerana faktor inilah maka kita yakin Zafrul akan menghidangkan bajet yang terbaik untuk negara pada Jumaat ini.

Buah tangan daripada pakar ekonomi ini pasti ditunggu-tunggu. Dalam wawancara dengan sebuah akhbar nasional minggu lalu, Zafrul membayangkan bajet ini akan memberikan impak terhadap perbelanjaan pembangunan untuk tempoh yang lama.

Ia akan digunakan untuk membina hospital dan projek infrastruktur lain.

Dalam kata lain, beliau sebenarnya cuba memberitahu rakyat, bahawa Kerajaan Persekutuan mampu untuk berbelanja kerana perancangan ekonomi yang pintar.

Covid-19 mungkin menyebabkan ekonomi terhenti, namun ia juga bermakna banyak program kerajaan yang lain turut tidak dilangsungkan.

Jadi kita memiliki lebihan wang yang tidak digunakan yang banyak. Dan inilah yang digunakan untuk memutar semula ekonomi, mengurangkan pembaziran dan memberi bantuan kepada rakyat bawahan.

Kata Zafrul, sejak Covid-19 melanda, Kerajaan Persekutuan telah membantu 10.6 juta rakyat dengan menyuntik RM18 bilion ke dalam poket mereka menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Program subsidi bernilai RM13 bilion pula membantu lebih 320,000 majikan dan 2.8 juta pekerja.

Kerana itulah diyakini, banyak projek besar dan program penting akan diumumkan selepas ini. Ia bukan gula-gula politik, sebaliknya bertujuan membina kehidupan rakyat.

Jika banyak sektor menutup pintu dan gulung tikar, serta pengangguran dijangka berlaku dalam jumlah yang besar, Zafrul dan rakan-rakan sebenarnya cuba membuka bidang lain.

Bidang yang boleh membuka peluang pekerjaan untuk membantu mereka yang kehilangan kerja ini.

Reskilling adalah antara tindakan yang dijangka akan digalakkan dalam bajet tersebut.

Sebagai rakyat yang prihatin, usah melihat perkara ini bersifat politik.

Roh bajet ini adalah untuk rakyat, dan ia akan membantu rakyat menjalani ketakutan akan wabak ini.

Kita sebenarnya perlu bersyukur, kerana dalam banyak negara lain, negara ini masih aman dan tentera, cukup makan dan dibela.

Banyak negara jiran lain kini menangis dalam diam, kerana rakyat sukar membela rakyat secara menyeluruh — kerana kos yang terlalu besar untuk tujuan itu.

Yang penting, kita memiliki Kabinet yang bekerja, Menteri Kewangan yang penyabar dan tahu apa yang perlu beliau lakukan.

Suara Sarawak