ARTIKEL

Gambar Hiasan

Menanti Sasterawan Negara dari Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DR. Abang Patdeli Abang Muhi dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sarawak keenam menerusi Anugerah Sastera Sarawak Ke-11 pada 2024.

Pengiktirafan ini diberikan berdasarkan komitmennya selama kira-kira empat dekad dalam bidang bahasa, penulisan dan kesusasteraan, merangkumi puisi, cerpen, esei serta kritikan sastera.

Antara karya penting beliau ialah kumpulan cerpen Urip, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 2013, serta Yang Menang dan Yang Kalah. Karya-karyanya banyak bertitik tolak daripada pengalaman hidup, pemerhatian sosial dan realiti masyarakat sekeliling.

Beliau percaya bahawa perkara kecil dalam kehidupan seharian dapat menjadi persoalan besar sekiranya ditafsirkan dan digarap dengan daya kreatif.

Pendekatan ini menyebabkan karyanya dekat dengan pembaca, tetapi tetap membawa renungan yang lebih luas tentang manusia, budaya dan perubahan masyarakat.

Kekuatan utama Dr. Abang Patdeli terletak pada keberanian beliau melontarkan gagasan dan kritikannya termasuk terhadap kepemimpinan politik yang disifatkannya sebagai melanggar etika dan amanah, ketajaman pemerhatian dan keluasan pengetahuannya.

Gaya eseinya pernah diperihalkan sebagai memiliki pandangan tajam dan pengetahuan luas. Beliau mampu menghubungkan teks sastera dengan sejarah, kebudayaan, sosiologi, pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Tulisan mengenai pelancongan sastera, kearifan tempatan, prospek penulis muda dan karya pengarang Sarawak menunjukkan bahawa kritikannya tidak terbatas pada analisis unsur dalaman teks. Sebaliknya, beliau menempatkan sastera dalam konteks masyarakat, ekonomi, warisan dan pembinaan identiti.

Kelebihan lainnya ialah keterlibatan dalam hampir semua genre serta keaktifannya membentangkan kertas kerja dalam seminar dan bengkel di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau bukan hanya penghasil karya, tetapi pembina wacana yang membantu pembaca melihat kehidupan secara terbuka dan di luar kebiasaan.

Sumbangan institusionalnya juga besar. Beliau pernah menjadi pengarah Jabatan Pembangunan Bahasa dan Sastera DBP, timbalan pengarah DBP Cawangan Sarawak, ketua Unit Sosiobudaya, ketua Unit Muzium Bahasa dan Sastera, pensyarah sambilan di UNIMAS serta menganggotai lebih 50 jawatankuasa berkaitan bahasa dan kesusasteraan.

Gabungan kekuatan kreatif, kritis dan pentadbiran inilah yang menempatkan Dr. Abang Patdeli sebagai penghubung penting antara karya, institusi dengan masyarakat dalam perkembangan kesusasteraan Sarawak

Sementara itu, Roslan Jomel mewakili kecenderungan yang berbeza. Jika Jong banyak bergerak dalam sejarah dan masyarakat Sarawak, sementara Abizai menyalurkan pemikiran melalui bahasa puisi, Roslan mengangkat kegelisahan kehidupan kontemporari melalui bentuk cerpen yang eksperimental.

Antara kumpulan cerpennya ialah Cerita Gelisah, Selamat Datang ke Malaywood, Serangga di Dalam Kepala, Di Dalam Mulutnya Ada Kota, Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan dan Posmen dalam Televisyen.

Empat kumpulan — Selamat Datang ke Malaywood, Serangga di Dalam Kepala, Di Dalam Mulutnya Ada Kota dan Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia antara 2012 hingga 2017.

Kekuatan pertama Roslan ialah keberanian melakukan eksperimen naratif. Cerpennya tidak semestinya bergerak mengikut pola konvensional yang mempunyai pengenalan, konflik dan penyelesaian yang kemas.

Sebaliknya, cerita boleh bersifat terbuka, fragmen, tidak terduga dan sengaja meninggalkan kegelisahan. Bentuk sedemikian selari dengan dunia moden yang tidak semestinya menawarkan jawapan atau penyelesaian.

Kekuatan kedua ialah penggunaan realisme magis, absurditi dan unsur sureal. Dalam karya Roslan, perkara ganjil boleh muncul di tengah-tengah kehidupan biasa.

Keanehan itu tidak semata-mata bertujuan mengejutkan pembaca, tetapi digunakan untuk mendedahkan ketidakmukakalan realiti sosial. Sesuatu masyarakat yang kelihatan normal mungkin sebenarnya dipenuhi kepura-puraan, pendindasan, kehilangan identiti dan keruntuhan nilai.

Kekuatan ketiga ialah sindiran sosial yang tajam. Posmen dalam Televisyen, misalnya, menghimpunkan 22 cerpen yang menyentuh keadaan masyarakat, politik dan dunia kesusasteraan. Naratifnya dipengaruhi oleh minat pengarang terhadap muzik, filem, fotografi dan kesusasteraan dunia. Jalinan antara sastera dengan budaya popular menghasilkan cerpen yang bersifat intertekstual dan kontemporari.

Roslan sering menampilkan manusia biasa yang terperangkap dalam sistem, bahasa rasmi, budaya media atau impian sosial yang palsu. Sindiran dalam karyanya tidak sentiasa disampaikan secara langsung.

Pembaca perlu mentafsir simbol, ironi, ketidakselarasan dan keanehan peristiwa. Strategi ini menuntut pembacaan aktif dan memperlihatkan keyakinan pengarang terhadap kecerdasan khalayak.

Kekuatan keempat ialah keupayaan melampaui label wilayah. Walaupun dilahirkan di Kuching, dunia kreatif Roslan tidak dibatasi oleh penandaan geografi Sarawak.

Beliau berbicara tentang kota, media, kuasa, industri kebudayaan, kesunyian, keterasingan dan tekanan kehidupan moden. Hal ini memperlihatkan bahawa seorang pengarang Sarawak tidak semestinya perlu bergantung pada eksotisme Borneo untuk mendapat perhatian nasional.

Kekuatan kelima ialah sumbangannya sebagai pengkritik dan eseis. Roslan bukan sekadar menghasilkan cerpen. Beliau turut menulis tentang buku, filem, pengarang, muzik dan perkembangan sastera.

Kedudukan sebagai pengarang autodidact memberikan perspektif tersendiri — kritikannya lahir daripada pembacaan luas, pengalaman kreatif dan keterlibatan langsung dalam dunia kesusasteraan.

Pemilihan Roslan sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi 2024 merupakan pengiktirafan penting terhadap kedudukannya dalam kesusasteraan Malaysia. DBP menyifatkannya sebagai pengarang prolifik dengan karya cerpen dan esei yang membawa pemikiran segar dalam sastera kontemporari.

Namun, kedudukan Roslan dalam perbincangan Sasterawan Negara perlu dinilai berdasarkan perspektif jangka panjang. Anugerah Penulis Asia Tenggara mengesahkan kepentingan dan potensinya, tetapi Sasterawan Negara menuntut korpus, pengaruh, kesinambungan dan sumbangan yang dinilai secara lebih luas.

Beliau mempunyai keaslian gaya dan keberanian estetik, cabarannya ialah memastikan karya-karyanya terus dikaji, diterbitkan, diterjemahkan dan membentuk generasi penulis berikutnya.

Empat Pengarang, Empat Jalur Kekuatan

Jong Chian Lai, Abizai, Dr. Abang Patdeli dan Roslan Jomel tidak wajar dibandingkan secara simplistik kerana setiap seorang memiliki kekuatan, jalur kepengarangan dan bentuk sumbangan yang berbeza.

Jong mempunyai kelebihan dari segi keluasan korpus novel, tempoh kepengarangan yang panjang, pengolahan sejarah, kesedaran ekologi dan penggambaran masyarakat majmuk.

Abizai menyertah melalui ketekalan kepenyairan, kesegaran metafora, dimensi kerohanian, kepekaan kemanusiaan serta kegiatannya membina ekosistem sastera.

Dr. Abang Patdeli pula menonjol melalui kepelbagaian genre, ketajaman esei dan kritikan, keluasan pengetahuan serta kemampuannya menghubungkan sastera dengan sejarah, kebudayaan, pendidikan dan kehidupan masyarakat.

Roslan penting kerana pembaharuan bentuk cerpen, sindiran kontemporari, eksperimen naratif serta pertemuan antara sastera dengan budaya popular.

Keempat-empatnya memperlihatkan cara yang tersendiri dalam mengangkat Sarawak ke persada kesusasteraan kebangsaan. Jong menjadikan sejarah, alam dan masyarakat Sarawak sebagai asas naratif nasional yang merentas sempadan etnik. Abizai menghubungkan pengalaman Sarawak dengan renungan kerohanian serta persoalan kemanusiaan sejagat.

Dr. Abang Patdeli mengangkat pengalaman masyarakat dan kearifan tempatan melalui karya kreatif, esei serta kritikan yang tajam, di samping memperkukuh perkembangan bahasa dan sastera menerusi kepemimpinan institusionalnya. Roslan pula membuktikan bahawa pengarang kelahiran Sarawak dapat hadir sebagai pengarang kontemporari Malaysia tanpa bergantung sepenuhnya pada citra lokal atau eksotisme Borneo.

Perbezaan tersebut merupakan kekuatan, bukannya kelemahan. Kesusasteraan Sarawak tidak mempunyai satu wajah atau satu suara sahaja. Kesusasteraannya merangkumi realisme sejarah, kesedaran ekologi, puisi kerohanian, kearifan tempatan, kritikal sosial, eksperimen pascamoden dan pengalaman masyarakat majmuk.

Jong, Abizai, Dr. Abang Patdeli dan Roslan secara bersama-sama membuktikan ketamangan, kepelbagaian dan keluasan horizon sastera Sarawak.

Kekuatan kolektif mereka memberikan asas yang meyakinkan bahawa Sarawak bukan sahaja memiliki calon berpotensi, tetapi juga tradisi kepengarangan yang layak dipertimbangkan secara serius dalam pemilihan Sasterawan Negara pada masa hadapan.

Agenda Memperkukuh Pencalonan dari Sarawak

Harapan melahirkan Sasterawan Negara dari Sarawak perlu disokong oleh strategi ilmu dan institusi. Oleh sebab itu, bibliografi lengkap setiap pengarang utama perlu disediakan, karya yang sukar diperoleh hendaklah diterbitkan semula dalam edisi kritis dan universiti perlu menggalakkan tesis, seminar, jurnal dan penyelidikan mengenai pengarang Sarawak.

Dalam pada itu, karya utama perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris serta bahasa serantau, arkib peribadi, manuskrip, surat, wawancara dan rakaman pengarang perlu dipelihara.

Pengarang perlu diperkenalkan melalui kurikulum sekolah dan universiti. Pencalonan rasmi mesti disediakan oleh institusi atau tokoh berwibawa berdasarkan dokumen yang lengkap dan bukan sekadar surat sokongan umum.

Paling penting, penilaian perlu bersifat kritis. Karya calon hendaklah dinilai bukan sahaja oleh pengagum, tetapi juga pengkritik yang bebas. Kelemahan, ketidakseimbangan dan keterbatasan korpus perlu dibincangkan bersama-sama kekuatannya. Pendekatan sedemikian tidak melemahkan calon, malah meningkatkan kredibiliti pencalonan.

Kesimpulan

Sarawak memiliki asas yang kukuh untuk melahirkan seorang Sasterawan Negara. Jong Chian Lai, Abizai, dan Roslan Jomel telah memperoleh Anugerah Penulis Asia Tenggara — anugerah yang diwujudkan Kerajaan Thailand sejak 1979 bagi memberikan pengiktirafan kepada pengarang Asia Tenggara yang menghasilkan karya kreatif bermutu.

Empat orang daripada mereka, Adi Badiozaman, Jong, Abizai dan Dr. Abang Patdeli, turut diangkat sebagai Sasterawan Negeri Sarawak.

Dalam penilaian semasa, Jong Chian Lai mempunyai kelebihan melalui korpus yang panjang, karya pelbagai genre dan pemikiran tentang sejarah, alam, masyarakat serta perpaduan.

Abizai memiliki kekuatan sebagai penyair yang tekal, pencipta metafora yang segar, pemikir kerohanian dan penggerak persatuan. Dr. Abang Patdeli pula menyerlah melalui kepebagaian genre, ketajaman esei dan kritikan serta sumbangan institusionalnya terhadap pengembangan bahasa dan sastera.

Roslan Jomel membawa kemungkinan masa hadapan melalui pembaharuan cerpen, sindiran sosial, eksperimen naratif dan keberanian estetik.

Namun, hujah untuk mengangkat Sasterawan Negara dari Sarawak tidak boleh berakhir dengan sentimen “sudah tiba giliran Sarawak”.

Anugerah tersebut bukan sistem giliran dan bukan kuota kenegerian. Hujah yang lebih berwibawa adalah bahawa kesusasteraan kebangsaan tidak akan benar-benar lengkap jika pengalaman Borneo, sejarah Sarawak dan suara masyarakat majmuknya terus berada di pinggir penilaian nasional.

Apabila karya pengarang Sarawak dinilai berdasarkan keunggulan estetik, kedalaman pemikiran, pengaruh dan sumbangan jangka panjang, mereka tidak harus dilihat sebagai pengarang wilayah. Mereka ialah pengarang Malaysia yang memperluas imaginasi tentang Malaysia.

Justeru, kelahiran Sasterawan Negara dari Sarawak bukan hanya kemenangan bagi Sarawak, tetapi pengiktirafan bahawa kesusasteraan kebangsaan tumbuh daripada keseluruhan pengalaman negara — dari Semenanjung hingga ke Borneo, dari kota hingga ke pedalaman, dan daripada satu tradisi kepada masyarakat yang benar-benar majmuk.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU