ANUGERAH Sastera Negara merupakan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Malaysia kepada tokoh yang memberikan sumbangan luar biasa terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu.
Sejak Keris Mas dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pertama pada 1981 hingga pemilihan Mana Sikana sebagai Sasterawan Negara ke-16 pada 2026, belum ada seorang pun pengarang yang lahir dan membina tradisi kepengarangannya di Sarawak menerima gelaran tersebut.
Hakikat ini menimbulkan persoalan yang wajar dibincangkan secara ilmiah. Adakah pengarang Sarawak belum memiliki korpus yang mencapai mutu nasional? Adakah karya mereka masih terlalu kuat dikaitkan dengan wilayah sehingga kurang dilihat sebagai bahagian daripada arus perdana kesusasteraan kebangsaan? Atau adakah kekuatan mereka belum didokumentasikan, dikritik, diterbitkan semula, diterjemahkan dan diketengahkan secara sistematik? Atau memang mereka belum lagi menepati kriteria anugerah berkenaan sehingga mereka tidak layak diangkat sebagai Sasterawan Negara?
Ketidakadaan Sasterawan Negara dari Sarawak tidak boleh disimpulkan sebagai ketiadaan karya besar. Sarawak memiliki sejarah persuratan yang panjang, pengalaman kebudayaan yang kompleks dan sejumlah pengarang yang sudah meraih pengiktirafan pada peringkat negeri, kebangsaan serta serantau. Kewujudan lima Sasterawan Negeri Sarawak dan tiga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara memperlihatkan bahawa negeri ini mempunyai asas kepengarangan yang kukuh.
Dalam konteks semasa, empat nama yang paling signifikan untuk dibicarakan ialah Jong Chian Lai, Zainal Abidin Suhaili atau Abizai, Abang Patdeli Abang Muhi, dan Roslan Jomel.
Objektif, kedudukan Anugerah Sastera Negara
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Anugerah Sastera Negara dikurniakan kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu, dan berdasarkan penilaian panel, telah memberikan sumbangan cemerlang kepada perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan bermutu tinggi.
Penerima diberi anugerah Wang Penghormatan Negara, wang tunai, kemudahan penerbitan dan penterjemahan, penyebaran karya serta kemudahan yang membantu kegiatan penciptaannya.
Berdasarkan asas tersebut, Anugerah Sastera Negara mempunyai beberapa objektif utama. Pertama, memberikan penghargaan tertinggi negara kepada pengarang yang menghasilkan karya luar biasa dalam bahasa Melayu. Kedua, mengiktiraf sumbangan pemikiran dan kegiatan seseorang sasterawan dalam membina kesusasteraan kebangsaan. Ketiga, memelihara karya penting sebagai khazanah intelektual dan budaya negara. Keempat, memperluas pembacaan, pengkajian, penerbitan serta penterjemahan karya bermutu. Kelima, menjadikan Sasterawan Negara sebagai tokoh pemikir yang dapat membimbing masyarakat menilai persoalan kehidupan, kemanusiaan dan peradaban.
Anugerah tersebut bukanlah hadiah untuk sebuah karya tunggal. Gelaran Sasterawan Negara merupakan penilaian terhadap keseluruhan perjalanan kepengarangan. Kemenangan dalam pertandingan, jumlah buku atau populariti hanyalah sebahagian daripada ukuran. Yang lebih utama ialah mutu keseluruhan korpus, kematangan pemikiran, keaslian estetika, kesinambungan berkarya dan pengaruh pengarang terhadap perkembangan sastera serta masyarakat.
Kriteria penilaian yang perlu diberikan perhatian
Secara konseptual, seseorang calon Sasterawan Negara perlu memenuhi beberapa kriteria yang saling melengkapi. Pertama ialah keunggulan karya. Karya calon harus mempunyai kekuatan bahasa, teknik, struktur, imaginasi, simbolisme dan pemikiran. Karya yang banyak tetapi sederhana mutunya belum tentu dapat membentuk korpus besar. Sebaliknya, sejumlah karya yang benar-benar memperbaharui tradisi sastera mungkin memberikan kesan yang lebih mendalam.
Kedua ialah keaslian dan identiti kepengarangan. Seseorang pengarang besar lazimnya mempunyai suara, gaya dan dunia kreatif yang tersendiri. Pembaca dapat mengenal pasti ciri kepengarangannya melalui pemilihan tema, pembinaan watak, citra, metafora, struktur naratif dan sikapnya terhadap kehidupan.
Ketiga ialah keluasan serta kedalaman pemikiran. Sasterawan Negara seharusnya bukan sekadar penghibur atau tukang cerita. Beliau perlu berperanan sebagai pemikir yang mentafsir persoalan sejarah, masyarakat, kekuasaan, keadilan, moral, keagamaan, identiti dan peradaban.
Keempat ialah kekuatan korpus dan ketekalan. Calon perlu mempunyai karya yang membolehkan perkembangan estetika dan pemikirannya diteliti menerusi tempoh yang panjang. Korpus yang kukuh juga perlu memperlihatkan kesinambungan antara karya awal dengan karya matang.
Kelima ialah pengaruh pada peringkat kebangsaan. Karya calon sewajarnya dibaca, dikritik, dikaji dan dibicarakan melampaui negeri asalnya. Kemenangan hadiah kebangsaan, penggunaan karya dalam pendidikan, penerbitan oleh institusi nasional, kajian akademik dan penterjemahan menjadi petunjuk kepada keluasan pengaruh tersebut.
Keenam ialah sumbangan kepada perkembangan sastera. Sasterawan besar tidak semestinya hanya menulis. Sumbangan melalui persatuan, bengkel, pendidikan, penerbitan, kritikan, bimbingan kepada pengarang muda dan kegiatan kesusasteraan juga penting.
Ketujuh ialah keupayaan mengangkat pengalaman setempat menjadi pengalaman sejagat. Sifat lokal tidak menurunkan mutu karya. Sebaliknya, karya yang benar-benar berakar dalam masyarakat tertentu boleh mencapai nilai universal apabila konflik, emosi dan persoalannya menyentuh pengalaman asas manusia.
Berdasarkan ukuran tersebut, perbincangan tentang calon dari Sarawak harus dimulai dengan penelitian karya dan sumbangan, bukannya tuntutan bahawa setiap wilayah perlu menerima giliran. Kita perlu bersikap realistik. Jika memang belum ada yang layak, kita perlu akur. Sebaliknya, kita perlu berusaha untuk menepati kriteria berkenaan, lebih-lebih lagi, saya yakin, para panel yang dipilih untuk menilai calon ialah mereka yang memang berkelayakan dari segi kelayakan, pengalaman dan sebagainya.
Sasterawan Sarawak
Sejak Anugerah Sastera Negeri Sarawak diperkenalkan, lima tokoh telah menerima gelaran Sasterawan Negeri. Mereka ialah Muhammad Bujang atau Melati Sarawak pada 1994; Muhammad Rakawi Yusuf pada 1995; Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah pada 2009; Jong Chian Lai pada 2014; serta Zainal Abidin Suhaili atau Abizai sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sarawak 2020 yang disampaikan pada 2021, manakala Dr Abang Patdeli Abang Muhi menerimanya pada 2024.
Muhammad Bujang dan Muhammad Rakawi Yusuf mempunyai kedudukan penting sebagai pelopor. Adi Badiozaman pula menampilkan hubungan antara karya kreatif, pendidikan, pemikiran dengan pembangunan kebudayaan. Jong Chian Lai dan Abizai mewakili generasi yang mencapai pengiktirafan negeri, nasional serta serantau.
Anugerah negeri bukan tiket automatik kepada Anugerah Sastera Negara. Namun, pengiktirafan itu menunjukkan bahawa Sarawak sudah mempunyai tradisi penilaian dan lapisan pengarang yang mapan. Apabila gelaran negeri disokong oleh kemenangan pada peringkat kebangsaan dan Anugerah Penulis Asia Tenggara, kewajaran menilai pengarang tersebut untuk penghormatan lebih tinggi menjadi semakin kuat.
Jong Chian Lai merupakan salah seorang pengarang Sarawak yang paling kukuh dari segi korpus, tempoh berkarya dan pengiktirafan. Dakwat kreatif mula mengalir dari pena beliau pada usia muda dan menghasilkan cerpen serta novel sejak dekad 1970-an. Antara novelnya termasuk Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga, Pindah, Buaya Putih Buaya Kudung, Pemberontakan, Meredah Ombak Keributan, Long Busang, Ensera Marga Timur dan St. Anthony dan Ah Fook.
Kekuatan Jong terletak pada keupayaannya merakam perubahan sosial dan sejarah Sarawak. Beliau tidak memperlakukan sejarah sekadar sebagai latar. Sejarah berfungsi sebagai kuasa yang membentuk kesedaran, identiti, konflik dan pilihan watak. Dalam Pemberontakan, perjuangan menentang penjajahan dibina melalui pelibatan watak daripada pelbagai kaum. Pendekatan ini menunjukkan sejarah Sarawak sebagai sejarah bersama, bukannya sejarah eksklusif sesuatu kelompok. Kajian terhadap novel tersebut menunjukkan lonjakan pemikirannya ke arah perjuangan nasional yang merentas kaum.
Kekuatan beliau juga terletak pada kesedaran ekologinya. Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga menunjukkan perjuangan mempertahankan tanah, hutan dan warisan masyarakat daripada ancaman pembalakan. Persoalan alam dalam karya tersebut bukan sekadar gambaran keindahan hutan. Alam ialah sumber kehidupan, identiti, ingatan kolektif dan maruah masyarakat. Konflik ekologi akhirnya menjadi konflik antara kepentingan ekonomi dengan hak komuniti.
Jong turut memiliki kelebihan dalam menggambarkan masyarakat majmuk dari dalam. Sebagai pengarang Cina yang berkarya dalam bahasa Melayu, Jong menduduki ruang budaya yang penting. Beliau membuktikan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kreatif milik semua warganegara. Karya seperti Ah Fook membawa pengalaman masyarakat Cina ke dalam kesusasteraan Melayu tanpa memisahkannya daripada sejarah dan kehidupan masyarakat Sarawak yang lebih luas.
Kedudukan Jong mempunyai nilai simbolik terhadap gagasan sastera kebangsaan. Beliau membantu memecahkan tanggapan bahawa kesusasteraan Melayu hanya lahir daripada pengalaman satu kaum. Melalui bahasa Melayu, pengalaman Cina Sarawak, masyarakat pedalaman, golongan bawahan dan komuniti yang berdepan perubahan dapat dimasukkan ke dalam ingatan kebangsaan.
Inovasi kepengarangan merupakan satu lagi keistimewaan beliau. Kajian berdasarkan teori teksdeismisme mendapati Jong melakukan pembaharuan melalui penggunaan pelbagai sumber, pengalaman peribadi dan penyelidikan bagi menghasilkan idea baharu. Hal ini menunjukkan bahawa novelnya tidak lahir daripada imaginasi spontan semata-mata, tetapi disokong oleh usaha memahami sejarah, budaya dan masyarakat.
Dari segi pencapaian, beberapa cerpen Jong memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, antaranya Tanah Bukit dan Siapa Bunuh Anakku. Pemberontakan mendapat tempat kedua dalam Sayembara Novel ESSO-GAPENA 1993, manakala Ah Fook memenangi hadiah pertama Sayembara Penulisan ITBM-PENA-Berita Harian pada 2015. Beliau menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara pada 2006 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Sarawak keempat pada 2014.
Sumbangan Jong tidak terhad kepada jumlah karya dan hadiah. Beliau membantu mengukuhkan novel sejarah, novel sosial dan kesedaran ekologi dalam kesusasteraan Sarawak. Karyanya turut memperluas konsep perpaduan dengan menggambarkan masyarakat pelbagai etnik sebagai peserta bersama dalam sejarah. Dari segi korpus, kematangan dan pengaruh, beliau mempunyai asas yang kuat untuk dinilai pada tahap yang lebih tinggi.
Zainal Abidin Suhaili, yang menggunakan nama pena Abizai, mula menulis sejak awal 1980-an. Bidang utamanya ialah puisi, tetapi beliau juga menghasilkan rencana, esei dan kritikan sastera. Ketekalan selama lebih empat dekad menjadikannya salah seorang penyair penting dari Sarawak. Namun, kecintaan dan kekuatan utamanya bagi saya, ialah puisi. Maka, tidak hairanlah jika setakat ini, penyair berbakat besar dari Sarawak itu mempunyai 15 kumpulan puisi. Kumpulan puisi pertamanya bertajuk Seekor Kelawar di Kamar Pengantin diterbitkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Sarawak (GPPS) pada 1989, manakala yang terkini ialah Bayangan Kacak Merak Terbitan DBP pada 2026. Tidak banyak penyair yang memperlihatkan keprolifikan sedemikian, dan Abizai adalah antara yang sedikit itu.
Antara karya yang berkaitan dengan kepengarangannya ialah Membentuk Elok di Teluk Esok, Kitab Rahsia, Merdeka Burung, Cinta Si Pengukur Kata, Memandang Cangkerang dan kumpulan esei kritikan Alam Hakiki dalam Puisi Penyair Sarawak. Kehadiran karya kreatif bersama karya kritikan memperlihatkan Abizai bukan sahaja menjadi puisi, tetapi juga berusaha memahami dan menjelaskan tradisi kepenyairan di sekelilingnya.
Kekuatan utama Abizai ialah penciptaan metafora yang segar dan berlapis. Beliau saya anggap sebagai raja metafora dalam penciptaan puisi. Dalam puisinya, unsur alam seperti laut, ombak, pantai, angin, bunga, akar, awan, sungai dan cahaya sering diolah menjadi lambang pemikiran, perjuangan, harapan, kesalahan, keyakinan dan perubahan. Kajian tentang puisinya menyifatkan beliau sebagai pemerhati zaman yang mampu merakam masalah serta semangat sesuatu zaman melalui pemilihan puisinya.
Dari segi teknik, metafora Abizai bukan perhiasan bahasa yang terpisah daripada makna. Metafora menjadi kaedah penyair menghubungkan sesuatu yang abstrak dengan pengalaman yang dapat dibayangkan pembaca. Konsep seperti keadilan, kemakmuran, kekecawaan, keyakinan dan perjuangan dibentuk melalui alam dan benda.
Kelebihan ini menjadikan puisinya kaya daripada segi visual dan semantik.
Beliau juga memperlihatkan kesepaduan antara estetika dengan kerohanian. Penelitian menunjukkan pendekatan takmilah menemukan bahawa puisi Abizai secara konsisten menampilkan hubungan manusia dengan Allah serta citra kerohanian yang diungkapkan dengan bahasa halus, bermakna dan berkesan. Unsur keagamaan dalam karyanya tidak semestinya hadir sebagai nasihat langsung. Sebaliknya, pengalaman spiritual diterjemahkan melalui renungan tentang kejadian, keterbatasan manusia, tanggungjawab moral dan perjalanan mencari kebenaran.
Kepekaan terhadap persoalan kemanusiaan dan sosial merupakan satu lagi kelebihan Abizai. Puisi Abizai merentasi ruang Sarawak dengan menyentuh konflik, penderitaan, pemberontakan manusia, kemiskinan, moral, budaya, pendidikan dan masa depan masyarakat. Dengan demikian, beliau tidak terperangkap dalam regionalisme sempit. Sarawak merupakan tapak pengalaman awal, tetapi pandangan kemanusiaannya bergerak lebih luas.
Selain itu, keseimbangan antara penciptaan dengan pengembangan sastera begitu ketara dalam karya beliau. Abizai aktif melalui Persatuan Penulis Utara Sarawak atau PUTERA. Kegiatan seperti bengkel, perkampungan penulis, dialog, simposium, malan puisi, pengucapan puisi serta program bersama-sama penulis Nusantara membantu menghidupkan ekosistem sastera, khususnya di bahagian Utara Sarawak. Rekod kegiatan PUTERA memperlihatkan pelaksanaan program secara berterusan merangkumi pembimbingan penulis, diskusi karya dan hubungan dengan pengarang dari dalam serta luar negara.
Dari segi pengiktirafan, Membentuk Elok di Teluk Esok, yang menghimpunkan 52 puisi, memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Abizai juga berulang kali memenangi Hadiah Sastera Penulis Sarawak, memenangi hadiah pada peringkat kebangsaan, menerima Anugerah Penyai GAPENA 2018, Anugerah Penulis Asia Tenggara 2017 dan gelaran Sasterawan Negeri Sarawak kelima.
Kemenangan puisi Hikayat Eskor dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 pula membuktikan bahawa pencapaian beliau tidak berhenti pada karya terdahulu. Ketekalan ini penting kerana calon Sasterawan Negara harus terus memperlihatkan daya cipta dan kerelevanan.
Namun, untuk mengukuhkan kedudukan Abizai pada peringkat nasional, diperlukan penerbitan edisi lengkap puisi, bibliografi yang tersusun, kajian perbandingan, penterjemahan dan penilaian kritis tentang perkembangan pemikirannya. Pengiktirafan harus diperkukuh oleh tradisi ilmu yang membolehkan karya beliau dinilai secara mendalam.
(Artikel ini diterbitkan dalam dua bahagian. Bahagian 2 akan disiarkan pada 26 September 2026)



