KUCHING: Mendiang Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal telah banyak menyumbang ke arah pembangunan Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mendiang merupakan tokoh berpengaruh khususnya dalam masyarakat Lun Bawang semenjak menjadi Ahli Parlimen Bukit Mas pada 1982 hingga 1990.
“Beliau pernah terlibat dalam pertubuhan sosial khususnya menjadi Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Orang Ulu (OUCCI).
“Selain itu, beliau juga banyak menyumbang dalam banyak cara lain sebagai Ahli Parlimen dan peguam serta kapasiti lain kepada masyarakat.
“Kematian beliau amat mengejutkan dan dirasai oleh kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) di Pusat Beli-Belah Aiman di sini, semalam.
Semalam, media melaporkan Datuk Mutang Tagal berusia 70 tahun menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 11.46 pagi.
Menurut Pejabat Dewan Negara, beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Beliau telah menjalani rawatan di IJN selepas jatuh sakit semasa lawatan kerja ke Azerbaijan pada 6 Mei lepas.
Beliau menjadi Orang Ulu etnik Lun Bawang pertama dilantik menjadi Presiden Senat ke-20 pada 19 Februari tahun ini.
Majlis penghormatan terakhir kepada mendiang diadakan di lobi Nirvana Centre Kuala Lumpur pada hari ini (11 Mei) dari jam 10 pagi hingga 2 petang.
Esok (Ahad, 12 Mei), jasad mendiang dijangka tiba di Miri sekitar jam 10 pagi dan akan dibawa ke Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM), Jalan Lapangan Terbang Miri, bagi penghormatan terakhir.


