ARTIKEL

Menelusiri kehidupan Suku Boti

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

INI BUKAN kunjungan pertama saya ke Boti, sebuah kampung terpencil di sudut sunyi Pulau Timor yang didiami oleh komuniti adat yang tetap teguh mempertahankan nilai-nilai leluhur mereka hingga hari ini.

Mereka ialah Suku Boti, salah satu suku asli Timor yang hidup berdikari, memenuhi keperluan sendiri dalam aspek pakaian, makanan dan tempat tinggal tanpa bergantung pada modenisasi.

Pada hemat saya, mereka ialah suku pertapa abad ini, mirip dengan Suku Baduy di hujung Pulau Jawa.

Kedua dua suku ini memberi inspirasi kepada ramai orang. Desa Boti terletak di Kecamatan Kie, Kabupaten Timor Tengah Selatan, Nusa Tenggara Timur (NTT), yang bersempadan dengan Timor Leste.

Suku Boti dipercayai merupakan keturunan suku Atoni Metu, kumpulan etnik asli di Pulau Timor.

Menurut kisah turun-temurun, wilayah kediaman mereka yang disebut Faut Elak atau batu bertangga, dahulunya dianggap angker.

Namun, selepas melalui beberapa ritual magis, keluarga Benu, pengasas Suku Boti, berjaya menetap di sana.

Komuniti Boti terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu Boti Dalam dan Boti Luar.

Boti Dalam hidup mengikut peraturan adat yang ketat, manakala Boti Luar lebih terbuka kepada dunia luar.

Saya amat terpesona kerana ketika kebanyakan daripada kita sangat bergantung pada kilang dan pusat beli belah, Suku Boti pula mahir menenun kain dengan motif yang indah serta memenuhi keperluan makanan mereka secara sendiri.

Saya mendapati mereka memiliki pelbagai jenis makanan tempatan yang unik, malah tidak dimiliki oleh suku lain.

Selain itu, mereka bergantung pada hutan sebagai sumber makanan tambahan.

Hasil budaya mereka termasuk tenunan dan perkakas harian dihasilkan sendiri dengan corak khas yang mencerminkan nilai keseimbangan kosmologi.

Pakaian tradisional Suku Boti bukan sekadar simbol identiti, tetapi juga manifestasi kemandirian mereka daripada industri moden.

Keunikan suku ini sudah tentu menarik perhatian pelancong.

Ramai yang ingin melihat sendiri dan mempelajari cara hidup suku yang mampu bertahan dengan sedikit pengaruh modenisasi.

Pengunjung yang tiba biasanya disambut oleh Usif Boti atau pemimpin adat.

Mereka diajak menjelajah kampung, memerhati proses menenun kain tradisional, serta belajar tentang sistem pertanian yang diamalkan.

Namun, berbeza dengan desa pelancongan yang lain, Desa Boti tidak berorientasikan kepada komersialisasi pelancongan.

Interaksi yang berlaku bersifat pendidikan, bukan semata-mata untuk mengambil kesempatan.

Hal ini menjadikan Boti sangat berbeza daripada konsep desa pelancongan yang lain.

Semasa pandemik COVID19 melanda dunia, Suku Boti berjaya bertahan tanpa bantuan kerajaan.

Dengan kemandirian makanan yang mereka miliki, mereka mampu memenuhi keperluan harian.

Selain itu, mereka menggunakan ramuan herba tradisional sebagai rawatan semula jadi.

Pengalaman mereka semasa pandemik membuktikan bahawa kebijaksanaan tempatan mampu menjadi penyelesaian dalam menghadapi krisis global.

Jika dibandingkan dengan masyarakat adat di Sarawak, Malaysia, Suku Boti mempunyai beberapa persamaan, terutama dalam aspek kemandirian dan pemeliharaan budaya.

Misalnya, suku Orang Ulu di Sarawak juga terkenal dengan amalan pertanian berasaskan hutan dan pengolahan sumber alam secara mandiri.

Namun, suku Orang Ulu lebih terbuka kepada pelancongan moden dengan beberapa desa mereka dijadikan destinasi ekopelancongan.

Sementara itu, Suku Boti lebih memilih untuk mengekalkan keaslian tradisi mereka dan menolak campur tangan luar.

Bagi pelancong dari luar negara, khususnya dari Sarawak, Malaysia, perjalanan ke Desa Boti memerlukan beberapa langkah yang tersusun.

Perjalanan bermula dengan penerbangan antarabangsa dari Kuching ke Jakarta atau Bali.

Setelah tiba di salah satu destinasi tersebut, pelancong perlu meneruskan penerbangan domestik ke Kupang, iaitu ibu kota wilayah Nusa Tenggara Timur.

Setibanya di Kupang, perjalanan diteruskan melalui jalan darat dengan tempoh sekitar empat hingga lima jam untuk tiba di Desa Boti yang terletak di Kabupaten Timor Tengah Selatan.

Perjalanan ini boleh ditempuh dengan menggunakan kereta sewa atau pengangkutan awam yang tersedia di kawasan tersebut.

Bagi urusan penginapan, kebanyakan pelancong memilih untuk bermalam di hotel sederhana yang terdapat di Kupang atau bandar terdekat sebelum meneruskan perjalanan ke Desa Boti.

Ada juga pelancong yang memilih untuk melakukan lawatan pergi dan balik dari Kupang dalam tempoh sehari, bergantung pada keselesaan dan jadual masing-masing.

Dari segi anggaran kos, tiket penerbangan dari Kuching ke Jakarta bermula sekitar RM500, manakala tambang dari Jakarta ke Kupang dianggarkan bermula sekitar Rp1.2 juta atau kira-kira RM350.

Kos pengangkutan darat dari Kupang ke Desa Boti pula sekitar Rp800,000 hingga Rp1,000,000, bersamaan RM250 hingga RM300.

Bagi penginapan di sekitar Kupang, harga semalam dianggarkan antara Rp200,000 hingga Rp500,000 atau sekitar RM60 hingga RM150, bergantung pada jenis dan kemudahan yang disediakan.

Sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada komuniti setempat, pengunjung yang berkunjung ke Desa Boti biasanya digalakkan memberikan sumbangan sukarela.

Secara keseluruhan, jumlah kos perjalanan dari Sarawak ke Desa Boti dianggarkan sekitar RM2,000 hingga RM2,500, bergantung pada pilihan penginapan dan pengangkutan.

MENJAGA TRADISI DI TENGAH PERUBAHAN ZAMAN

Kisah Suku Boti merupakan cerminan keteguhan dalam menjaga nilai leluhur di tengah arus modenisasi.

Kemandirian mereka mampu memberikan pelajaran berharga kepada masyarakat global.

Bagi pelancong, mengunjungi Suku Boti bukan sekadar perjalanan pelancongan, tetapi juga sebuah pengalaman rohani, yang mengajar bahawa kebahagiaan tidak semestinya bergantung pada modenisasi, tetapi pada keharmonian dengan alam semesta.

Sebagai wartawan, saya berasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada komuniti ini.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU