ARTIKEL

Menemukan makna hidup melalui Ikigai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Dalam arus kehidupan yang penuh tuntutan, ramai individu berdepan tekanan sehingga hilang pedoman dan tujuan.

Justeru, persoalan tentang makna hidup, kebahagiaan serta keseimbangan diri terus menjadi renungan yang tidak pernah pudar.

Buku Ikigai: Rahsia Orang Jepun untuk Kehidupan Bahagia dan Panjang Usia karya Héctor García dan Francesc Miralles hadir sebagai naskhah yang menawarkan jawapan melalui pendekatan budaya dan falsafah hidup masyarakat Jepun.

Buku ini membawa pembaca mengembara ke perkampungan Ogimi di Okinawa, Jepun, sebuah kawasan yang diiktiraf sebagai Zon Biru kerana mempunyai bilangan penduduk berusia lebih 100 tahun yang tinggi.

Melalui pemerhatian, kajian lapangan dan temu bual bersama-sama penduduk setempat, penulis cuba menyingkap rahsia di sebalik umur panjang serta kehidupan yang penuh makna dan kegembiraan, berteraskan konsep ikigai.

Secara asasnya, ikigai merujuk kepada sebab seseorang bangun setiap pagi, iaitu tujuan hidup yang memberikan makna dan kepuasan.

Penulis menghuraikan konsep ini melalui rajah Venn empat bulatan, iaitu gabungan antara perkara yang dicintai, perkara yang dikuasai, perkara yang diperlukan oleh dunia, serta perkara yang mampu menjana pendapatan.

Pertemuan keempat-empat elemen ini diyakini dapat melahirkan kehidupan yang seimbang, bermakna dan memuaskan.

Namun, buku ini tidak terhenti pada teori semata-mata; penulis turut menggariskan 10 prinsip ikigai yang diamalkan oleh warga emas di Okinawa.

Antaranya termasuklah mengekalkan gaya hidup aktif tanpa terlalu bergantung pada konsep persaraan, mengamalkan prinsip Hara Hachi Bu, iaitu makan sehingga 80 peratus kenyang, serta memelihara hubungan sosial yang kukuh melalui persahabatan dan sokongan komuniti.

Selain itu, penduduk Okinawa turut menekankan kepentingan hidup pada masa kini, menghargai setiap detik tanpa dibelenggu kebimbangan melampau terhadap masa hadapan.

Dari segi kekuatan, buku ini disampaikan dalam gaya bahasa yang ringkas, santai dan mudah difahami, sekali gus sesuai untuk pembaca pelbagai peringkat usia.

Penulis turut menyelitkan amalan praktikal seperti senaman ringan Radio Taiso, teknik pernafasan, serta konsep aliran dalam pekerjaan, iaitu keadaan apabila seseorang tenggelam sepenuhnya dalam aktiviti yang dilakukan dengan rasa puas dan fokus.

Keistimewaan lain buku ini ialah penggunaan kajian lapangan yang berteraskan pengalaman sebenar penduduk Okinawa.

Temu bual yang dikongsikan bukan sahaja menambah kredibiliti, malah memberikan sentuhan kemanusiaan yang mendalam, sekali gus menjadikan mesej buku ini lebih dekat dengan pembaca.

Kesimpulannya, Ikigai merupakan sebuah naskhah yang wajar dijadikan bacaan reflektif, khususnya bagi mereka yang berasa terperangkap dalam rutin kehidupan moden.

Buku ini mengingatkan kebahagiaan dan umur panjang bukanlah hasil pencapaian besar semata-mata, sebaliknya lahir daripada amalan kecil yang dilakukan secara konsisten, dengan penuh kesedaran dan tujuan.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU