KUCHING: Pengurus Kuching City FC (KC FC), Ideris Untong menyifatkan perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam esok sebagai medan kebangkitan buat pemainnya.
Dengan misi serampang dua mata, cuba untuk meraih kemenangan sulung sekali gus memperoleh tiga mata penuh.
“Ia bukan tugas mudah mengambil kira prestasi semasa skuad merah kuning ketika ini,” jelas Ideris kepada Arena Suara Sarawak.
Namun, Ideris yakin dengan semangat juang pemainnya selain pelan terbaik bakal diguna pakai Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim untuk perlawanan malam esok.
“Apa yang diharapkan, pemain dapat kekal fokus, mempraktik strategi yang akan diguna pakai dengan sebaiknya,” tambah Ideris.
Sambil mengakui aksi malam esok Irfan Bakti akan mempertaruhkan barisan kesebelasan terbaik bagi memastikan KC FC dapat beroleh sebarang mata.
The City Boys kini menghuni kelompok bawahan Kumpulan B, menggumpul satu mata selepas mengharungi dua perlawanan.


