ARTIKEL

Mengajar dan diajar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DUA minggu lalu, saya dipaksa oleh beberapa kawan bergelar guru menonton sebuah drama Korea yang ditayangkan di Netflix.

Mereka menggesa saya, tontonlah kerana drama itu sangat dekat dengan persekitaran kita. 

Teach You a Lesson drama Korea 10 episod, bukan sekadar drama aksi tentang disiplin sekolah atau integriti dunia pekerjaan yang runtuh tetapi sebuah naskhah yang menyentuh isu buli, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan dalam sebuah sistem yang sepatutnya melindungi.

Menariknya, drama ini bukan hanya mencetuskan perbincangan di Korea Selatan malah turut tular di beberapa negara selepas berjaya menembusi carta tontonan global Netflix termasuk berada dalam kelompok teratas di negara Asia dan beberapa negara lain. 

Ada remaja yang sanggup terjun dari bangunan tinggi, ada guru yang dibuli dan orang dewasa yang menanggung luka emosi. 

Kejayaan Teach You a Lesson membuktikan isu yang dibawa bukan isu setempat, sebaliknya dekat dengan pengalaman manusia di banyak tempat. Ia tentang kuasa, penindasan dan luka yang lahir apabila sesuatu sistem gagal menjaga mereka yang berada di bawahnya.

Ketika menonton drama itu, saya teringat kepada kisah seorang kenalan yang saya namakan sebagai Farid. Dia seorang kakitangan sokongan yang rajin, berdedikasi dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

Namun semakin lama, dia mula kehilangan keyakinan terhadap dirinya sendiri. Puncanya bukan kerana beban kerja yang terlalu berat, tetapi kerana terpaksa berhadapan dengan arahan yang sentiasa berubah-ubah dan jangkaan yang tidak pernah jelas.

Hari ini, dia diminta melakukan sesuatu dengan satu cara. Esok, dia dipersalahkan kerana mengikut arahan yang sama. Pagi, dia diarahkan memberi keutamaan kepada satu tugasan, petangnya dipersoalkan mengapa tugasan lain belum disiapkan. 

Lama-kelamaan, dia mula hidup dalam keadaan serba salah. Apa-apa sahaja yang dilakukan dirasakan tidak pernah mencukupi.

Kisah Farid membuatkan saya berfikir tidak semua tekanan di tempat kerja datang dalam bentuk yang kasar dan mudah dilihat. Ada tekanan yang hadir secara perlahan-lahan, menghakis keyakinan dan ketenangan seseorang sedikit demi sedikit. 

Bagi sesetengah orang, istilah buli emosi mungkin kedengaran terlalu keras. Mereka mungkin beranggapan seseorang hanya dianggap dibuli apabila dimarahi di khalayak ramai, dihina secara terbuka atau diugut oleh pihak atasan. 

Hakikatnya, bentuk tekanan emosi yang paling merosakkan sering berlaku secara senyap dan berterusan sehingga mangsa sendiri tidak menyedari bahawa mereka sedang mengalaminya.

Bayangkan seseorang yang setiap hari datang bekerja dengan niat untuk melakukan yang terbaik, namun setiap keputusan yang dibuat sentiasa dipersoalkan. 

Setiap tugasan yang disiapkan sentiasa mempunyai kesalahan. Setiap arahan yang diterima berubah mengikut keadaan tanpa penjelasan yang munasabah. 

Dalam keadaan seperti itu, pekerja akhirnya bukan lagi memberi tumpuan kepada hasil kerja, tetapi kepada usaha mengelakkan kesilapan yang mungkin tidak pernah wujud.

Inilah yang berlaku kepada ramai pekerja. Mereka tidak takut kepada kerja. Mereka tidak takut kepada cabaran. Sebaliknya mereka takut kepada ketidakpastian. 

Mereka takut kepada perubahan keputusan yang mendadak. Mereka takut kepada keadaan kerana apa-apa sahaja yang dilakukan akhirnya akan dipersalahkan.

Di mata sesetengah pihak, ia sering dianggap sebagai sebahagian daripada budaya kerja yang normal dengan menganggap dunia pekerjaan memang keras. 

Ada yang berpendapat pekerja perlu lebih tahan tekanan. Ada juga yang menganggap pihak atasan mempunyai hak untuk mengubah arahan pada bila-bila masa.

Sememangnya benar perubahan sebahagian daripada dunia pekerjaan. Tiada organisasi yang dapat berkembang tanpa keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan. 

Namun perubahan yang baik sentiasa disertai dengan komunikasi yang jelas, penjelasan munasabah dan penghormatan terhadap individu yang melaksanakan tugasan tersebut.

Masalah timbul apabila perubahan berlaku tanpa arah yang jelas. Hari ini sesuatu keputusan dipersetujui, esok keputusan yang sama ditolak. Minggu ini satu perancangan dianggap terbaik, minggu berikutnya, individu yang melaksanakan perancangan itu pula dipersalahkan. 

Dalam keadaan seperti ini, pekerja bukan sahaja kehilangan motivasi malah mula kehilangan kepercayaan terhadap sistem dan kepimpinan organisasi.

Kesan jangka panjangnya amat besar. Ada pekerja yang mula mengalami gangguan tidur. Ada yang sentiasa berasa cemas sebelum masuk ke pejabat. Ada yang membawa tekanan tersebut pulang ke rumah sehingga menjejaskan hubungan dengan pasangan dan anak-anak. 

Lebih menyedihkan, ada yang memilih untuk meletakkan jawatan bukan kerana tidak menyukai pekerjaan mereka tetapi kerana tidak lagi mampu menanggung beban emosi yang terkumpul selama bertahun-tahun. Saya simpati dengan nasib Farid. 

Saya bertuah kerana bekerja di bawah seorang ketua yang mempunyai empati tinggi dalam hati. Saya rasa semua ketua perlu ada rasa empati tinggi kerana rasa itu membuka semua pintu toleransi, mahu mendengar bukan menghakimi, mengarah dengan terarah dan memandu saya dalam pemanduan yang berhemah. 

Ketua saya mengajar saya untuk menjadi ketua yang memanusiakan manusia lain sejak 2,160 hari yang lalu. Saya menerima setiap arahan dengan jelas. 

Jika arahannya A, saya akan laksanakan A dan disampaikan kepada bawahan saya A juga. Bukan kerana saya cekap tetapi kerana arahan yang jelas. 

Saya banyak belajar menjadi ketua yang benar-benar memanusiakan kakitangan bawahan saya. Namun setiap ketua juga manusia, pasti ada silapnya dan saya juga harus menerima kesalahan yang saya buat. 

Saya dapat bayangkan bagaimana Farid bekerja. Hari pertama, arahan yang dia terima pagi, tengah hari bertukar. Hari pertama mungkin ada kesilapan. Esoknya sama. Lusa sama, arahan sentiasa berubah-ubah dan lebih menyakitkan, semuanya tidak betul dan buat semula. 

Menariknya, yang tidak betul pada mulanya menjadi betul dan dibuat semula. Belum lagi masalah komunikasi dan panggilan telefon berkali-kali yang menyatakan, kerja A salah, B tidak betul dan semua ada kesilapan. 

Menariknya panggilan dibuat selepas mesyuarat yang menyetujui kerangka utama kerja. Pengajarannya, jika kalian menjadi ketua, jadi ketua yang mengekalkan jiwa manusia bukan robot.

Letak rasa dan masalah kakitangan di dalam kasut kita. Inilah yang saya praktikkan kini, saya cuba menjadi ketua yang baik, menjadi bawahan pada ketua saya dengan baik dan terus belajar untuk bersikap baik.

Perkara yang sering dilupakan yang setiap pekerja ialah manusia. Mereka mempunyai emosi, maruah dan harga diri. Mereka mahu dihargai apabila melakukan sesuatu dengan baik. 

Mereka juga mahu diberi panduan yang jelas apabila melakukan kesilapan. Tiada sesiapa yang mengharapkan pujian setiap masa, tetapi semua orang mengharapkan layanan adil dan konsisten.

Seorang pemimpin yang baik tidak semestinya seorang yang sempurna. Mereka juga boleh melakukan kesilapan. Mereka juga boleh mengubah keputusan apabila keadaan memerlukan. 

Namun perbezaannya ialah mereka berani menjelaskan sebab perubahan tersebut dan sanggup bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat. Kepimpinan bukan tentang menunjukkan kuasa tetapi membina kepercayaan.

Dalam dunia yang semakin memberi perhatian kepada kesihatan mental, organisasi juga perlu melihat semula budaya kerja yang diamalkan. Produktiviti tidak boleh diukur semata-mata melalui angka dan pencapaian. 

Organisasi yang benar-benar berjaya ialah organisasi yang mampu mewujudkan persekitaran kerja yang membuatkan pekerja berasa selamat, dihormati dan dihargai.

Apabila pekerja berasa dihormati, mereka akan memberi komitmen yang lebih tinggi. Apabila pekerja berasa didengari, mereka akan lebih berani menyumbang idea. 

Apabila pekerja yakin, mereka tidak akan dipersalahkan secara tidak adil, mereka akan lebih kreatif dan berani mengambil inisiatif.

Saya percaya setiap daripada kita, sama ada pekerja, ketua jabatan, unit atau pemimpin mempunyai peranan dalam mewujudkan budaya kerja yang lebih sihat. Kadangkala perubahan besar bermula dengan perkara yang kecil, arahan yang jelas, komunikasi yang baik dan kesediaan untuk mendengar.

Kerana pada akhirnya, kejayaan organisasi bukan hanya diukur melalui pencapaiannya. Ia juga diukur melalui bagaimana organisasi itu melayan manusia yang bekerja keras setiap hari untuk memastikan kejayaan tersebut menjadi kenyataan.

Dan, mungkin inilah pengajaran terbesar yang saya peroleh selepas menonton. Kita mungkin tidak dapat mengawal semua cabaran dalam kehidupan dan pekerjaan. 

Namun kita sentiasa mempunyai pilihan untuk menjadi individu yang membina keyakinan orang lain, bukannya orang yang secara perlahan-lahan mematahkan semangat mereka. 

Saya mahu memimpin dengan cara yang meninggalkan kesan baik pada ketua di atas saya dan kenangan baik pada orang yang pernah bekerja di bawah saya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Budayakan sukan demi Visi 2030

MUKAH: Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Bahagian Mukah menjadi platform menggalakkan masyarakat menjadikan aktiviti sukan dan rekreasi sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat. Pegawai Belia